- Iklan -
Berita

Majlis hari jadi cetus kluster baru Covid-19 di Sabah

19 kes positif dilaporkan setakat ini berkenaan dengan kluster hari jadi ini.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai beratur sebelum memasuki sebuah pasar raya untuk membeli barangan dan membuat persiapan bagi menghadapi PKP 3.0 secara penuh bermula 1 Jun hingga 14 Jun di Taman Kuchai. Sekatan pergerakan penuh akan dilanjutkan bermula 15 hingga 28 Jun depan.Sepanjang PKP3.1 ini, hanya Perkhidmatan Perlu (Essential Services) sahaja dibenarkan untuk beroperasi, MKN akan menyenaraikan beberapa perkhidmatan keperluan tidak lama lagi.
Orang ramai beratur sebelum memasuki sebuah pasar raya untuk membeli barangan dan membuat persiapan bagi menghadapi PKP 3.0 secara penuh bermula 1 Jun hingga 14 Jun di Taman Kuchai. Sekatan pergerakan penuh akan dilanjutkan bermula 15 hingga 28 Jun depan.Sepanjang PKP3.1 ini, hanya Perkhidmatan Perlu (Essential Services) sahaja dibenarkan untuk beroperasi, MKN akan menyenaraikan beberapa perkhidmatan keperluan tidak lama lagi.

Majlis hari jadi yang diadakan dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 baru-baru ini dikenal pasti menjadi punca yang mencetuskan kluster baru Covid-19 di Sabah dengan 19 kes positif dilaporkan setakat ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Masidi Manjun berkata Kluster Serudung Baru di Tawau itu adalah kluster baru di Mukim Balung yang berkait rapat dengan majlis hari jadi diadakan di rumah kes indeks, seorang lelaki warga emas berumur 60 tahun, dan dihadiri ahli keluarga pada 12 Jun lepas.

Jurucakap kerajaan negeri berkaitan Covid-19 itu berkata lelaki terbabit disahkan positif wabak berkenaan pada 16 Jun di Klinik Kesihatan Apas Balung setelah bergejala sejak 13 Jun.

”Susulan kes itu, saringan kontak pada 20 Jun mendapati sembilan individu dalam kalangan jemputan majlis terbabit dikesan positif. Setakat hari ini, sembilan lagi kes positif direkodkan menjadikan jumlah kumulatif bagi kluster sebanyak 19 kes,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Sementara itu, Masidi berkata seorang penyelia lelaki berumur 35 tahun telah mencetuskan kluster baharu melibatkan jangkitan dalam kalangan kakitangan pelantar minyak di Platform FPSO KIKEH tempatnya bekerja.

Masidi berkata kes indeks bagi Kluster Samedra di Kota Kinabalu itu mula bergejala sejak 12 Jun sebelum disahkan positif hasil saringan pekerjaan pada tarikh sama di sebuah klinik swasta.

”Turut dikesan positif ialah 24 kontak dalam kalangan rakan sekerja kes indeks, menjadikan jumlah kumulatif kes positif bagi kluster ini sebanyak 25 kes. Aktiviti saringan dan kawalan masih giat dijalankan,” katanya.

Secara keseluruhannya, Masidi berkata 166 kes baru direkodkan di Sabah hari ini menjadikan jumlah kumulatif Covid-19 di negeri itu 67,707 kes, dengan dua kematian dilaporkan di Tawau.

Beliau berkata 265 pesakit sembuh dan dibenarkan keluar hospital, menjadikan jumlah kumulatif kini 65,238 orang, manakala 1,586 pesakit masih menerima rawatan iaitu 468 orang di hospital; Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah Awam (1,116 orang), serta Pusat Tahanan Sementara atau penjara (dua orang).