- Iklan -
Berita

Orang Asli Kelantan bakal terima vaksin satu dos, kata Khairy

Vaksin CanSino diberikan kepada Orang Asli akan memudahkan perjalanan vaksinasi kerana pihak petugas kesihatan tidak perlu berulang kali masuk ke kawasan pedalaman.

Ahmad Mustakim Zulkifli
1 minit bacaan
Kongsi
Orang Asli suku Kensiu mencuci pakaian di Sungai Legong, Baling, Kedah.Orang Asli yang kebanyakannya tinggal di pedalaman menyukarkan proses vaksinasi mereka, vaksin CanSino yang hanya memerlukan satu dos pelalian bakal memudahkan petugas kesihatan.
Orang Asli suku Kensiu mencuci pakaian di Sungai Legong, Baling, Kedah.Orang Asli yang kebanyakannya tinggal di pedalaman menyukarkan proses vaksinasi mereka, vaksin CanSino yang hanya memerlukan satu dos pelalian bakal memudahkan petugas kesihatan.

Masyarakat Orang Asli di kawasan pedalaman Kelantan bakal menerima vaksin CanSino dan Johnson and Johnson selepas vaksin itu dijangka tiba di negara ini pada bulan depan, kata menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin.

Khairy berkata, vaksin itu diberikan kerana kelebihannya yang memerlukan hanya satu dos suntikan berbanding dua dos suntikan vaksin-vaksin lain.

“Kita akan hantar kepada Kelantan terutama kawasan pedalaman, pos Orang Asli di Gua Musang, Kuala Krai dan sebagainya. Tak perlu masuk (ke pedalaman) dua kali untuk imunisasi,” katanya pada sidang media di Kelantan hari ini yang turut dihadiri Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob.

Kerajaan pada 15 Jun lalu memberikan kelulusan bersyarat kepada vaksin CanSino dari China dan Johnson and Johnson dari Amerika Syarikat.

Mengulas mengenai pendaftaran vaksin yang rendah di kalangan Orang Asli di Gua Musang, Khairy berkata kerajaan menggerakkan program “outreach” bagi memberikan penerangan dan suntikan sekaligus.

“Program outreach ini merupakan program penerangan bahawa ini vaksin Covid melindungi daripada Covid-19. Apabila dibuat, terus suntuk. Kita tak perlu risau jumlah pendaftaran rendah. Kita pergi terus dan terus bagi (suntikan),” katanya.

Khairy turut memaklumkan lima pusat pemberian vaksin (PPV) awam akan dibuka di Bachok, Kota Bharu, Pasir Mas, Machang dan Kuala Krai selain tambahan PPV di hospital dan klinik swasta.

“Dengan semua kapasiti ini, saya yakin kita dapat selesai populasi dewasa di Kelantan menjelang Oktober.”

Dalam pada itu, Khairy berkata kerajaan akan membuka PPV untuk vaksinasi secara “walk-in” selepas semua yang mendaftar selesai menerima suntikan mereka.