Tuesday, June 22, 2021

Ahli psikologi ingatkan stres pandemik boleh kekal dalam jangka waktu panjang

Takut, gelisah dan kelesuan menjadi punca kepada kemerosotan kesihatan mental dan emosi.

Other News

Pakar psikologi mengingatkan tentang beberapa kesan wabak Covid-19 terhadap kesihatan mental dan emosi yang bakal berterusan bukan hanya ketika sepanjang pandemik bahkan boleh berterusan sehingga selepas krisis ini berjaya ditamatkan ekoran satu lagi sekatan pergerakan penuh dilaksanakan ekoran peningkatan kes jangkitan dan kematian di seluruh negara.

Ahli psikologi klinikal di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Siti Inarah Hasim berkata, wujud kemungkinan bagi orang ramai berdepan dengan risiko penyakit mental seperti gangguan stres pasca trauma (PTSD) sebagai satu lagi gangguan mental tambahan terhadap kebimbangan melampau dan stres akibat perubahan yang berlaku akibat pandemik.

“Kita melihat wujud pola PTSD sebagai respons kronik daripada trauma sebelum ini,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Bagaimanapun, kajian baru-baru ini menunjukkan orang ramai juga boleh menunjukkan gejala-gejala PTSD hanya dengan menggambarkan peristiwa yang sangat menekan mereka.

“Mereka menggambarkan diri dan orang tersayang dijangkiti virus, jatuh sakit atau bahkan mati akibat virus, antara satu penerangan yang tepat dengan apa yang kita ada dan lalui sewaktu pandemik ketika ini.”

Sekatan pergerakan penuh yang dilaksanakan dari 1 thingga 14 Jun, dikuat kuasa di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) sejak awal pandemik melanda negara susulan jangkitan wabak yang kini mencatat angka harian tertinggi sebanyak 9,020 pada 29 Mei selain angka rekod kematian tertinggi sebanyak 126 orang pada 2 Jun lalu.

Siti Inarah berkata apabila pandemik pertama kali melanda tahun lalu, orang ramai berdepan dengan gangguan kebimbangan melampau dan kemurungan ketika berdepan dengan perubahan-perubahan yang berlaku dalam rutin kehidupan mereka.

Walaupun ramai yang dapat menerima perubahan tersebut, Siti berkata ramai juga yang masih berdepan kesukaran dalam menghadapi perubahan-perubahan yang berlaku akibat pandemik.

“Ramai rakyat Malaysia masih berdepan kesukaran bagi menangani emosi mereka. Keadaan emosi itu bergantung sama ada mereka lebih menerima perubahan itu atau ia menjadi semakin buruk.

“Semestinya kita masih berjuang untuk kekalkan kewarasan kita selepas terpaksa berdepan satu lagi tahun pandemik.”

Beliau turut mengingatkan tentang isu “kelesuan akibat Covid-19” yang menyaksikan ramai orang menjadi semakin lemah emosi dan kini tidak lagi menghiraukan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Beliau berkata hal ini mungkin terjadi akibat stres dan kurang motivasi selain ketidaktentuan yang bakal dihadapi selepas peningkatan angka jangkitan dan pengumuman sekatan pergerakan penuh.

“Hal ini bahkan dihadapi oleh golongan yang lebih bernasib baik kerana masih mempunyai pekerjaan dan bekerja dari rumah tanpa bergantung kepada bantuan kerajaan untuk bertahan,” katanya.

Ahli psikologi dari International Medical University, Serena In turut bersetuju ketidakpastian yang terus berulang akibat pandemik memainkan peranan besar dalam mempengaruhi kesihatan mental.

Serena berkata kegelisahan dan kemurungan boleh timbul akibat tekanan berterusan ekoran takut hilang pekerjaan, jatuh sakit atau kehilangan orang tersayang atau perkara-perkara lain yang di luar kawalan orang ramai.

“Kadangkala, rasa hilang kawalan terhadap kehidupan sendiri secara berterusan boleh menyebabkan perasaan tidak berdaya dan putus asa.

“Angka-angka yang direkodkan ketika pandemik terhadap rakyat Malaysia mempunyai kesan riak terhadap pelbagai sudut kehidupan mereka,” katanya kepada MalaysiaNow.

Stres seperti itu juga boleh mempengaruhi keadaan orang ramai dan pola tidur mereka, tambahnya.

Beliau menggesa orang ramai yang mengalami tekanan emosi untuk meminta pertolongan daripada ahli keluarga, rakan atau khidmat profesional jika keadaan memerlukan selain mencari cara untuk menyesuaikan diri dengan perubahan-perubahan dalam kehidupan akibat wabak Covid-19.

“Ini adalah proses penyesuaian diri.

“Daripada hanya berharap kehidupan akan kembali normal seperti sebelum pandemik, cuba bersikap terbuka kepada idea bahawa kehidupan pasca pandemik memang benar-benar berbeza.”

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles