- Iklan -
Berita

Putrajaya umum ‘total lockdown’ seluruh negara bermula 1 Jun

PKP penuh seperti tahun lalu dilaksanakan bermula 1 hingga 14 Jun depan.

Staff Writers
3 minit bacaan
Kongsi

Putrajaya mengumumkan pelaksanaan “total lockdown” atau perintah kawalan pergerakan (PKP) skala penuh di seluruh negara dari 1 hingga 14 Jun ketika kes jangkitan Covid-19 terus meningkat dan merekodkan angka tertingginya hari ini melebihi 8,000.

Pejabat Perdana Menteri (PPM) berkata keputusan tersebut diambil Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Mengenai Pengurusan Covid-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin petang tadi.

Semua sektor tidak dibenarkan untuk beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan utama yang akan disenaraikan oleh Majlis Keselamatan Negara.

Kenyataan PPM itu turut berkata PKP skala penuh tersebut akan dilaksanakan dalam tiga fasa.

“Sekiranya lockdown fasa pertama ini berjaya mengurangkan kes-kes harian Covid-19, kerajaan akan melaksanakan lockdown fasa kedua, iaitu dengan membenarkan pembukaan semula beberapa sektor ekonomi yang tidak melibatkan perhimpunan yang besar serta boleh mematuhi penjarakan fizikal.

Menurutnya lagi, lockdown fasa kedua ini akan dilaksanakan untuk tempoh empat minggu selepas fasa pertama berakhir sementara pelaksanaan fasa ketiga adalah PKP seperti yang berkuat kuasa pada masa ini di mana aktiviti sosial tidak dibenarkan dan hampir semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi tertakluk kepada SOP yang ketat serta kehadiran secara fizikal di tempat kerja yang dihadkan.

“Walau bagaimanapun, keputusan untuk beralih dari satu fasa ke fasa yang berikutnya akan tertakluk kepada penilaian risiko oleh kementerian kesihatan Malaysia.

“Penilaian akan dibuat berdasarkan perkembangan kes-kes harian semasa dan kapasiti hospital di seluruh negara untuk merawat pesakit Covid-19.”

Langkah drastik ini diambil selepas semalam Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mengingatkan Malaysia perlu “bersiap sedia untuk situasi terburuk” selepas trend peningkatan mendadak kes dalam negara.

MalaysiaNow difahamkan topik PKP skala penuh yang diumumkan telah menjadi “perdebatan hangat” sejak beberapa hari lalu ketika mesyuarat harian berhubung Covid-19 di antara beberapa agensi yang ditugaskan untuk menasihati dan mengemaskini Putrajaya berhubung langkah-langkah bagi menangani pandemik.

“Walaupun ada perbahasan yang cukup jelas mengenai perlunya menjaga keseimbangan antara kehidupan dan mata pencarian orang ramai, lonjakan kes drastik dalam beberapa hari kebelakangan ini menunjukkan kerisauan utama adalah jika seluruh sektor kesihatan kita merudum sekali gus menjadikan isu nyawa diutamakan.

“Namun apa yang lebih membimbangkan pakar-pakar kesihatan yang menasihatkan kerajaan adalah hakikatnya kemudahan ICU kita sudah penuh, dan ada tanda-tanda menunjukkan kemudahan sektor swasta pun tidak mencukupi bagi menangani trend jangkitan ketika ini jika ia tidak dihentikan,” kata sumber kepada MalaysiaNow.

Kes harian sejak beberapa minggu lalu menunjukkan tidak ada tanda menunjukkan ia semakin berkurang, lebih-lebih lagi sejak bermulanya PKP beberapa hari sebelum Aidilfitri.

Hari ini, Malaysia merekodkan 8,290 kes baru, ia adalah catatan angka paling tinggi setakat ini .

72,000 kes aktif turut dicatatkan dengan 808 dimasukkan ke ICU sementara hampir 400 orang memerlukan bantuan pernafasan.

Pandemik ini juga turut mengorbankan 2,552 nyawa dan setakat ini telah menjangkiti lebih 500,000 orang.

Dalam sebuah program temu bual minggu lalu, Muhyiddin berkata beliau lebih memilih “lockdown” penuh, namun terpaksa mempertimbangkan faktor-faktor lain termasuk kekangan kewangan kerajaan ketika ini.

“I sendiri bukanlah doktor, namun itu cara terbaik kekang virus. Kaedah ini telah dibuktikan paling efektif dan yang paling mudah untuk dilaksanakan kerajaan, namun kita tak ada pengalaman tangani pandemik sebelum ini,” kata Muhyiddin.

Beliau juga turut berkata “lockdown” pertama yang dikenali sebagai PKP 1.0, telah menyebabkan negara menanggung RM2.4 bilion kerugian sehari disamping terpaksa membelanjakan RM340 bilion sebagai bantuan tunai dan pakej rangsangan bagi meningkatkan semula ekonomi.

PKP pertama kali dilaksanakan pada 18 Mac tahun lalu, ketika itu hanya sektor utama sahaja yang dibenarkan untuk dibuka. Ketika itu, purata kes di Malaysia kurang dari 100.

PKP kemudian dilanjutkan beberapa kali sehingga Jun, ia kemudian ditukar kepada PKP bersyarat dengan beberapa sektor dan perniagaan lain dibenarkan untuk dibuka selepas tiga bulan.

Namun kes mula meningkat sejak September tahun lalu selepas pilihan raya di Sabah, ia kemudian terus menunjukkan trend meningkat walaupun beberapa langkah dilaksanakan selain SOP turut diperketatkan.

Peningkatan kes telah menyebabkan kebimbangan sebarang ketidakstabilan politik boleh menyebakan pilihan raya tergempar, satu perkara yang tegas dibantah pihak berkuasa kesihatan negara.

Januari lalu, Yang di-Pertuan Agong telah mengisytiharkan perintah darurat, menyebabkan Parlimen ditangguh namun telah memberikan lebih banyak kuasa kepada pihak berkuasa kesihatan untuk mengambil langkah-langkah drastik bagi melawan pandemik