- Iklan -
Berita

Penyuntik AstraZeneca perlu tunjuk jarum suntikan kepada penerima

KKM telah menetapkan arahan tambahan dalam prosedur operasi standard (SOP) kepada semua pengendali vaksin di PPV AstraZeneca.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Pegawai perubatan membuat persiapan sebelum memberi suntikan vaksin AstraZeneca pada hari pertama yang dibuka pada umum kepada penduduk di Kuala Lumpur dan Selangor di Pusat Dagangan Dunia Putra.
Pegawai perubatan membuat persiapan sebelum memberi suntikan vaksin AstraZeneca pada hari pertama yang dibuka pada umum kepada penduduk di Kuala Lumpur dan Selangor di Pusat Dagangan Dunia Putra.

Penyuntik vaksin kini perlu menunjukkan jarum suntikan sebelum dan selepas memberi suntikan kepada penerima vaksin ekoran beberapa dakwaan pemberian vaksin AstraZeneca kurang daripada sepatutnya, kata Menteri Kesihatan Dr Adham Baba.

Beliau berkata kementerian kesihatan (KKM) memandang serius dakwaan yang dikatakan berlaku di PPV di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL).

“KKM dan ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) sedang membuat siasatan lanjut mengenai perkara itu,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurutnya, KKM telah menetapkan arahan tambahan dalam prosedur operasi standard (SOP) kepada semua pengendali vaksin di PPV AstraZeneca.

“Mereka juga perlu menunjukkan jarum suntikan yang dikosongkan kepada penerima vaksin selepas suntikan dilakukan,” kata Adham sambil berkata SOP baru itu adalah demi memastikan kualiti pengendalian vaksin AstraZeneca berada pada tahap optimum.

Beliau turut berkata SOP tambahan berhubung pemberian vaksin akan diperluaskan ke semua PPV lain manakala pemantauan rapi akan dipertingkatkan bagi memastikan semua SOP dipatuhi.

“KKM akan sentiasa memastikan program pemberian Vaksin AstraZeneca dilaksanakan dengan jaya dan selamat untuk penduduk Malaysia,” jelasnya.

Terdahulu, Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) berkata pihaknya sedang menyiasat secara terperinci dakwaan pemberian dos vaksin AstraZeneca terkurang sebanyak 0.5 mililiter (ml) di WTCKL.

Vaksin AstraZeneca ketika ini menjadi vaksin utama dalam skim Covax, sebuah inisiatif Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dengan beberapa negara penderma untuk memastikan negara-negara miskin boleh mengakses vaksin Covid-19.

Ia juga digelar sebagai “game-changer” pada Januari lalu ketika diumumkan sebagai vaksin pertama yang mampu milik selain tidak memerlukan tempat penyimpanan suhu dingin seperti Pfizer-BioNTech dan Moderna.

Bagaimanapun, AstraZeneca menghadapi publisiti buruk berikutan kes darah beku yang dilaporkan di beberapa negara termasuk UK dan Eropah yang menyaksikan beberapa pesakit yang disuntik vaksin tersebut telah meninggal dunia.