Friday, October 29, 2021

Kit Siang gesa Khairy benarkan syarikat ‘scam vaksin percuma’ tebus maruah

Menurut Kit Siang, surat rasmi Yong Chee Kong yang ditulis kepada kerajaan negeri untuk mendermakan dua juta dos vaksin Covid-19 tersebut ditulis kakitangan syarikat beliau.

Other News

Penasihat DAP Lim Kit Siang hari ini menggesa Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin meluluskan dua juta vaksin Covid-19 percuma kepada Pulau Pinang yang ingin diberikan syarikat didakwa scam sebelum ini bagi menebus maruah mereka.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, ahli perniagaan Yong Chee Kong menjelaskan surat rasmi yang ditulis kepada kerajaan negeri untuk mendermakan dua juta dos vaksin Covid-19 tersebut ditulis kakitangan syarikat beliau, bukannya oleh DAP Pulau Pinang seperti dikatakannya sebelum ini.

“Khairy perlu memberikan kelulusan kepada dua juta dos vaksin Covid-19 yang ingin disumbangkan oleh ahli perniagaan Yong Chee Kong kepada Pulau Pinang bagi membolehkan beliau menebus maruahnya semula dan memenuhi tawarannya sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Yong berkata yang sekiranya beliau boleh mendapatkan surat kelulusan daripada kerajaan untuk dua juta dos vaksin Covid-19 ini, ‘bos’ beliau masih terbuka untuk mendermakan vaksin tersebut kepada rakyat Pulau Pinang.”

Sebelum ini, Khairy yang juga menteri yang bertanggungjawab ke atas vaksinasi Covid-19 mendedahkan tawaran dua juta dos vaksin Covid-19 secara percuma untuk Pulau Pinang merupakan satu scam dan menambah siasatan mendapati syarikat yang memberikan tawaran itu sebenarnya tidak wujud.

“Saya ulangi sekali lagi hari ini. Sumbangan atau tawaran ini palsu. Lihat surat tawaran ini, letterhead syarikat pun tiada,” katanya pada sidang media secara dalam talian hari ini.

“Saya bertanggungjawab terhadap pembelian vaksin di Malaysia, jadi saya tahu dari mana bekalan didapatkan.”

Kenyataan itu dikeluarkan Khairy selepas Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow mengatakan kerajaan cuba menyekat pemberian vaksin percuma kepada rakyat Pulau Pinang.

Bagaimanapun Guan Eng dan Chow sudah mengemukakan permohonan maaf terhadap Khairy selepas pendedahannya.

Penasihat DAP itu meminta ruang diberikan kepada Yong dengan membolehkan beliau memenuhi tawaran dua juta dos vaksin kepada rakyat Pulau Pinang.

“Sekiranya Yong berjaya mengotakan tawaran ini, semua laporan polis terhadap beliau patut digugurkan.”

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles