Sunday, June 20, 2021

Perkhidmatan bas awam yang berkurangan menjadikan pengguna terpaksa menunggu lama

Kesan pandemik terhadap pengangkutan awam menyukarkan mereka yang tidak memiliki kenderaan sendiri utuk bergerak.

Other News

Pengguna bas di Lembah Klang yang bergantung dengan rangkaian perkhidmatan pengangkutan awam untuk bergerak mendapati mereka terpaksa berdepan masalah menunggu bas lebih lama dan pilihan bas yang kurang daripada sebelum ini susulan pengendali pengangkutan awam terpaksa menyesuaikan diri dengan sekatan yang dilaksanakan di bawah pelbagai tahap perintah kawalan pergerakan (PKP) sejak pandemik Covid-19 melanda tahun lalu.

Ketika dihubungi MalaysiaNow, mereka berkata menunggu bas akan memakan masa lebih lama.

Rani, 60, berkata tempoh menunggu minimum bas RapidKL di kawasan kejiranannya sekurang-kurangnya memakan masa setengah jam.

“Anda mesti menunggu sekurang-kurangnya 30 minit jika terlepas bas,” tambahnya.

“Saya sering menunggu sehingga satu jam kerana bas tidak hadir tepat pada waktunya.”

Warga emas yang tinggal di Shah Alam itu berkata perjalanan dengan bas untuk bekerja di Petaling Jaya atau Kuala Lumpur kini menjadi satu yang menyukarkan dirinya dan yang tidak memiliki kereta sendiri.

Menurutnya, banyak masa dihabiskan hanya untuk menunggu ketibaan bas.

Pada waktu-waktu puncak, katanya, dia mungkin terpaksa menunggu hingga dua jam untuk sampai ke Kuala Lumpur jika trafik perlahan.

Tinjauan MalaysiaNow di beberapa stesen bas mendapati bilangan bas yang beroperasi semakin berkurangan dengan masa menunggu lebih lama.

Seorang lelaki berusia 50 tahun yang meminta untuk tidak dinamakan memberitahu MalaysiaNow dia menggunakan bas untuk bergerak di kawasan bandar secara berkala.

Namun katanya, masalah yang dihadapinya adalah operasi bas di beberapa kawasan Lembah Klang tidak boleh dipercayai.

“Kami hanya mempunyai akses untuk bas di sini, sedangkan di beberapa tempat orang boleh gunakan khidmat kereta api yang jauh lebih baik.

“Sekarang ini, bas datang tak tepat waktu. Anggaran waktu ketibaan yang anda lihat di stesen bas tidak selalunya tepat.”

Ini menjadikan kehidupan sangat mencabar bagi mereka yang mesti bergantung dengan bas untuk bergerak.

Ketika dihubungi, jurucakap Rapid Bus Sdn Bhd, anak syarikat Prasarana Malaysia Bhd, sebuah syarikat yang menguruskan pengangkutan awam di negara ini berkata perkhidmatan dikurangkan di Lembah Klang kerana penurunan jumlah penumpang melebihi 60% sejak pertama kali perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan Mac lalu.

Osman Amir berkata hal ini menjadi sebab masalah masa menunggu lebih lama timbul.

Operasi bas juga diperlahankan oleh sekatan jalan raya yang dijalankan di kawasan sempadan Lembah Klang bagi mengelakkan percubaan merentas daerah yang dilarang di bawah PKP.

Osman mengakui pengurangan perkhidmatan memberi kesan kepada laluan bas di kawasan bandar namun beliau berkata perkhidmatan akan meningkat secara bertahap seiring peningkatan jumlah penumpang.

Dia turut menambah pihaknya meningkatkan usaha untuk memastikan bas bergerak dari perhentian pertama berdasarkan jadual yang dirancang.

“Sehingga April, rekod ketepatan waktu keseluruhan kami mencapai 88%,” katanya.

Syarikat itu juga memperkenalkan aplikasi mudah alih yang disebut “Pulse by Prasarana” yang dapat membantu pelanggan merancang perjalanan.

“Ini akan membolehkan mereka meminimumkan masa yang dihabiskan untuk menunggu bas, selain boleh mempertimbangkan pilihan perjalanan alternatif yang lain, dan juga boleh menjejaki bas yang bergerak di atas jalan,” katanya.

Namun, dengan SOP yang lebih ketat dilaksanakan di bawah PKP ketika ini dengan pembatasan 50% kapasiti penumpang dalam pengangkutan awam selain kekerapannya yang turut dikurangkan, pengguna bas mungkin hanya perlu bertahan dan terpaksa menunggu lama – sekurang-kurangnya buat masa ini.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles