- Iklan -
Berita

Hanya vaksin Pfizer digunakan untuk ibu hamil, wanita menyusukan anak

Vaksin AstraZeneca dan Sinovac tidak disyorkan pakar untuk digunakan bagi vaksinasi ibu hamil.

Farhira Farudin
1 minit bacaan
Kongsi
Vaksinasi ibu hamil hanya akan menggunakan vaksin Pfizer selepas pakar mendapati AstraZeneca dan Sinovac tidak sesuai untuk golongan tersebut.
Vaksinasi ibu hamil hanya akan menggunakan vaksin Pfizer selepas pakar mendapati AstraZeneca dan Sinovac tidak sesuai untuk golongan tersebut.

Putrajaya bersetuju untuk menggunakan vaksin Pfizer untuk vaksinasi ibu hamil dan wanita yang menyusukan anak berdasarkan syor pakar-pakar daripada kementerian kesihatan, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin.

Bagaimanapun Khairy berkata suntikan vaksin tersebut hanya akan dijalankan kepada wanita dengan usia kehamilan 14 hingga 33 minggu dan ibu yang menyusukan anak.

“Berdasarkan syor pakar daripada kementerian kesihatan, hanya vaksin Pfizer yang dinasihatkan untuk diberi kepada ibu hamil dan menyusukan anak.

“Saya sudah arahkan Pasukan tindakan Imunisasi Covid-19 (CITF) untuk sejajarkan perkara ini dengan pihak hospital dan pakar bagi mengutamakan ibu hamil dan yang sedang menyusukan anak supaya mereka diberikan vaksin Pfizer,” katanya dalam sidang media hari ini.

Sebelum ini, kerajaan berkata ibu hamil dan wanita yang sedang menyusukan anak tidak dinasihatkan untuk mengambil vaksin Sinovac atau AstraZeneca.

Berdasarkan garis panduan vaksinasi Covid-19 kementerian kesihatan, Sinovac didapati tidak sesuai untuk ibu hamil kerana memiliki kesan sampingan untuk golongan tersebut.

Kementerian turut berkata ia tidak mengesyorkan vaksin AstraZeneca kepada wanita yang menyusukan anak kerana kekurangan data berkaitan golongan itu berhubung penggunaan vaksin tersebut ke atas mereka.