Saturday, June 19, 2021

Pereka fesyen digesa bersederhana dalam mereka semula baju tradisional

Kreativiti sememangnya dibolehkan, namun ada beberapa perkara yang tidak seharusnya diubah.

Other News

Bagi yang sangat mementingkan gaya dan fesyen, mungkin ada yang malu kalau-kalau apa yang digayakan sudah ketinggalan zaman: musim datang dan pergi, begitu jugalah fesyen pakaian sehingga ia boleh menyebabkan tekanan gara-gara mengejar gaya masa kini.

Namun, apa yang baru tak semestinya lebih bagus, kata sejarawan dan budayawan tempatan ketika warga Malaysia kini mencari busana Hari Raya Aidilfitri untuk digayakan di minggu perayaan.

Perkara ini menjadi satu hal yang perlu diperhatikan pereka pakaian raya dengan meletakkan sentuhan baru kepada pakaian tradisional, kata Sasterawan Negara Siti Zainon Ismail kepada MalaysiaNow.

Mengulas trend yang diikuti kebanyakan pereka muda yang sering mengubah suai atau “memodenkan” pakaian tradisional, beliau berkata tidak ada salahnya untuk menjadi kreatif.

Bagaimanapun, beliau menggesa mereka untuk lebih sensitif dengan budaya dan menghargai estetika budaya Malaysia ketika mencipta rekaan pakaian.

“Pakaian tradisional memiliki estetikanya yang tersendiri sejajar dengan kesopanan dan budi bahasa,” katanya.

“Namun, generasi muda ketika ini sering mengabaikan persoalan kesopanan yang merupakan bahagian penting bagi setiap budaya.”

Antara rekaan yang sempat menghangatkan perdebatan baru-baru ini adalah “Baju Melayu Pendek” dan “Jubah Wira” yang direka jenama fesyen Behati.

Koleksi Raya 2021 daripada jenama itu menampilkan rekaan pakaian dengan sentuhan berbeza dari versi asalnya. Dengan potongah saiz melampau dan meleret-leret, ditambah pula seluar dengan potongan pendek.

Perekanya, Kel Wen, dikritik hebat dalam talian dengan menyifatkan rekaannya itu “mengorbankan” budaya Melayu dan pakaian yang melambangkan kesopanan lelaki Melayu Muslim.

Bagaimanapun, Kel Wen tetap mempertahankan rekaannya dengan mendakwa “memperkenalkan variasi-variasi baru” pakaian tradisional Melayu yang turut dipakainya sejak kecil.

“Saya memperkenalkan variasi-variasi baru sebagai seorang pereka mengikut fesyen hari ini,” katanya.

Siti berkata percubaan untuk mereka semula pakaian tradisional kadang-kadang boleh melampaui batasan, dari hanya sekadar menunjukkan kreativiti kepada meremehkan nilai dan estetika yang ada dalam pakaian tradisional tersebut.

Beliau turut menambah perayaan Hari Raya Aidilfitiri disambut sekali setahun, orang Melayu perlu mengambil peluang ini untuk mengamalkan adat budaya dengan memperagakan pakaian tradisional ketika menziarahi keluarga dan memohon restu orang tua.

Rekaan pakaian tradisional kadang-kadang menjadi isu perdebatan di Malaysia.

Pada 2018, pereka fesyen Rizalman Ibrahim turut dikecam kerana koleksi Rayanya yang direka berinspirasikan “Bollywood”.

Beliau dan selebriti Izara Aishah yang dilibatkan dalam projek tersebut dikritik kerana menggunakan aspek-aspek budaya India dalam rekaannya.

Sebahagian penggiat industri fesyen bersetuju standard tertentu mesti dikekalkan ketika ia berkait dengan pakaian tradisional.

Shasha yang bekerja di sebuah butik di Shah Alam berkata pakaian seperti baju Melayu harus kelihatan “sederhana”.

“Baju Melayu perlu dipakai dengan seluar panjang bagi menunjukkan kesopanan pada Hari Raya Aidilfitri,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Okey saja nak jadi kreatif, tapi kenalah tahu batasan. Pakaian tradisional mesti mewakili kesopanan.”

Seorang lagi pemilik butik di Shah Alam turut berkata kreativiti perlu ada batasannya.

“Bagi saya, tak betul buat begitu kerana baju Melayu dan baju kurung adalah pakaian tradisional, jadi anda harus ikut nilai dan potongannya sejak dulu lagi,” katanya.

“Pereka boleh jadi kreatif, tapi ikutlah potongan tradisionalnya,” katanya kepada MalaysiaNow.

Bagaimanapun, hal ini tidak bermakna mereka menolak rekaan versi-versi baru rekaan baju tradisional.

Siti menjelaskan dalam rekaan versi baru seorang pereka harus menghargai versi asalnya sebelum mencipta versi yang baru.

“Kita perlu hormati budaya dan tradisi kita. Bukannya kita cuba hancurkan.

“Tak ada salah nak buat rekaan baru, tapi jangan lupa rekaan lama yang memiliki nilai sejarahnya yang tersendiri.”

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles