Monday, June 14, 2021

Thailand kesan kes pertama varian India

Thailand mencatat 1,630 kes baru Covid-19 dan 22 kematian semalam menjadikan jumlah jangkitan keseluruhan sebanyak 85,005 dan 421 kematian.

Other News

Thailand mengesan kes pertama varian Covid-19 India, melibatkan seorang ibu dan anak warga tempatan yang baru pulang dari Pakistan.

Penolong jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Dr Apisamai Srirangsan berkata wanita berusia 42 tahun itu dan tiga anak lelakinya yang berusia antara empat hingga lapan tahun tiba di Thailand dari Pakistan pada 24 April.

“Semua mereka berada di pusat kuarantin. Ibu dan anaknya yang berusia 4 tahun disahkan positif sementara dua lagi anaknya negatif.

“Chulalongkorn Memorial Hospital pada Ahad menjalankan rawatan genom kerana sejarah perjalanan mereka. Analisis lanjut menunjukkan adanya varian India,” katanya pada taklimat harian Covid-19 hari ini.

Beliau menambah pihak berkuasa kesihatan menyuarakan kebimbangan varian baharu itu mungkin akan menyebabkan negara dalam keadaan berisiko tinggi untuk menghadapi lebih banyak jangkitan.

Varian B.1.617.1 dikesan buat pertama kali di India pada Oktober sebelum merebak ke negara lain.

Pakistan, Nepal dan Bangladesh adalah antara negara yang dikesan mempunyai virus ini.

Thailand melarang penerbangan dari India buat sementara waktu mulai 1 Mei. Bagaimanapun, penerbangan pulang untuk mengangkut sejumlah 74 warga Thailand dari India tiba pada 8 Mei sementara dua penerbangan lagi dijadualkan masing-masing tiba pada 15 dan 22 Mei.

Sementara itu, Dr Apisamai berkata kementerian luar dan Jabatan Kawalan Penyakit mengadakan perbincangan untuk menggantung permit masuk dari Pakistan, Bangladesh dan Nepal.

Setakat ini, Thailand mencatat 1,630 kes baru Covid-19 dan 22 kematian dalam tempoh 24 jam lalu menjadikan jumlah jangkitan keseluruhan 85,005 dan 421 kematian.

 

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles