Monday, June 14, 2021

Derita keluarga cacat penglihatan di Sarawak berdepan PKP

Siti Zaharah Abdullah dan keluarga tidak sanggup berdepan PKP sekali lagi akibat kesempitan yang dialami mereka ketika ini.

Other News

Di sebuah rumah kecil di pinggir kota Sarawak, tinggal sebuah keluarga yang terdiri dari 11 orang ahli, kebanyakan mereka mengalami masalah penglihatan.

Siti Zaharah Abdullah dan suaminya, Faizal Puini pernah bekerja sebagai tukang urut, di samping itu mereka juga menjual makanan ringan di Medan Satok, sebuah pasar yang terletak di Petrajaya.

Di pasar itu mereka mencari penghidupan dengan menyewa ruang kecil dengan harga RM300 sebulan.

Ia adalah kehidupan yang sukar buat keluarga ini.

Namun, pandemik Covid-19 menyebabkan hidup mereka menjadi lebih sukar.

Rumah kecil tempat Siti Zaharah sekeluarga berlindung. Ekoran PKP punca pendapatan dari upah mengurut yang berkurangan tidak dapat menampung kehidupan mereka.

Faizal dan Siti Zaharah merupakan pasangan cacat penglihatan dan setiap hari berjuang untuk menyediakan makanan dan keperluan mereka dan dua orang anak.

Disebabkan tidak dapat membuka perniagaan kecil mereka akibat pandemik, mereka kini terpaksa bergantung dengan bantuan yang diterima demi melangsungkan kehidupan.

Mereka berdua masih mengambil tempahan sesi mengurut, namun ia tidak cukup menampung kehidupan kerana jumlahnya terlalu sedikit.

Sekiranya pihak berkuasa mengenakan perintah kawalan pergerakan (PKP) sekali lagi, mereka tidak pasti bagaimanakah dapat bertahan.

“Orang-orang cacat penglihatan seperti kami sukar mendapat pekerjaan kerana ketidakupayaan kami,” kata Siti Zaharah, 29, kepada MalaysiaNow.

“Kami hidup dengan bajet yang sangat kecil sejak sebelum wabak ini melanda. Tidak banyak perkara yang dapat kami lakukan.”

Dia dan keluarganya kini tinggal bersama mertua di Kampung Gita Lama, Petrajaya, kira-kira 6km dari pusat bandar.

Lima saudara Faizal yang lain turut tinggal di rumah sama menjadikan jumlah ahli keluarga yang tinggal di rumah itu seramai 11 orang.

Daripada keseluruhan jumlah ahli rumah itu, Siti Zaharah, Faizal, ibu dan empat adik-beradiknya yang lain adalah OKU cacat penglihatan.

Ayah Faizal, Puini, dan tiga saudara lelakinya memperolehi pendapatan hasil mengumpulkan tin. Dua adik bongsunya pula menghidap masalah mental.

Ketika PKP dikenakan kali pertama dilaksanakan pada Mac tahun lalu, Faizal dan Siti Zaharah langsung tidak memperoleh pendapatan.

“Selain daripada bantuan kewangan khas Covid-19, kami terpaksa bergantung dengan wang RM250 yang kami dapat setiap bulan dari jabatan kebajikan,” kata Siti Zaharah.

Siti Zaharah mengenang bagaimana perasaannya yang pernah mengalami rasa putus asa setiap kali tidak memiliki wang untuk membeli barang keperluan, termasuk bekalan makanan.

MalaysiaNow turut menemui ibu mertua Siti Zaharah juga merupakan OKU penglihatan. Zaharah risau memikirkan pembelajaran anak-anak ketika PKP.

Wanita ini juga risau melihat keadaan anak-anaknya, terutama anak perempuannya yang berumur enam tahun.

“Saya bimbang apakah dia dapat jalani sesi pembelajaran dengan sempurna.

“Penutupan sekolah bermaksud dia harus belajar dari rumah,” katanya.

Katanya, sukar untuk dia mencetak bahan pembelajaran anaknya kerana keluarganya tidak mampu memiliki mesin cetak.

“Makanan pun kami tidak mampu nak beli,” kata Siti Zaharah.

“Kalau nak cetak bahan pembelajaran anak, kami terpaksa menggunakan pengangkutan awam untuk pergi ke kedai.”

Sejak wabak Covid-19 melanda, antara pendapatan yang boleh diusahakan adalah menjual tisu di jalanan.

“Ada hari-hari di mana kami tidak cukup makan setelah anak-anak makan,” katanya sambil menambah kesenangan kecil seperti susu sememangnya tidak pernah dibayangkan lantaran kesempitan yang dihadapi.

Keluarga itu bertahan dengan berkongsi setiap makanan yang mereka miliki.

Malahan, mereka turut berkongsi bagi membayar bil elektrik dan air.

“Semua orang mesti letak duit,” kata Siti Zaharah.

Selain itu, mereka juga berkongsi tempat tidur yang sama di ruang tamu rumah kecil mereka.

“Kami bernasib baik sebab tinggal bersama masyarakat,” katanya, sambil menambah jiran-jiran mereka sering berkongsi rezeki dengan menyumbang makanan sepanjang PKP.

Walaupun begitu, dia tidak pernah berputus harap untuk terus berusaha demi memulihkan situasi dihadapi keluarganya ketika ini.

“Saya tak fikir kami mampu berdepan PKP sekali lagi.”

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles