- Iklan -
Berita

Putrajaya nilai semula PKP di negeri jangkitan tinggi

Penilaian semula ini adalah demi memastikan SOP yang berkuat kuasa dan tindakan yang diambil adalah berkesan.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Pusat pentadbiran negara Putrajaya.
Pusat pentadbiran negara Putrajaya.

Putrajaya akan menilai semula perintah kawalan pergerakan (PKP) yang sedang berkuat kuasa khususnya di negeri-negeri yang sedang mengalami peningkatan kes-kes positif Covid-19 secara mendadak.

Dalam sebuah kenyataan hari ini Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata penilaian semula ini penting untuk memastikan SOP dan tindakan yang diambil adalah berkesan untuk membendung penularan Covid-19 yang sedang meningkat.

“Pendekatan ini selari dengan keputusan kerajaan untuk mengawal dan membendung penularan jangkitan Covid-19 secara bersasar.

“Melalui sistem ini, pemantauan dilakukan setiap hari bagi mengenal pasti lokasi-lokasi tumpuan awam yang berisiko tinggi,” kata Muhyiddin

Dalam pada itu, Muhyiddin turut berkata ketika ini kerajaan telah menggunakan sistem amaran awal iaitu Hotspots Identification for Dynamic Engagement (Hide) bagi mengenal pasti kawasan atau premis yang berisiko menyumbang kepada penularan Covid-19.

Menurutnya lagi, premis-premis tersebut akan diarah tutup jika dikesan telah dilawati oleh sejumlah besar mereka yang positif Covid-19.

Kebelakangan ini, kes jangkitan harian di Malaysia semakin meningkat.

Ia mencecah angka 3,788 kes semalam, satu angka paling tinggi sejak dua bulan lalu.

Kelantan yang menyaksikan peningkatan kes telah diletakkan di bawah status PKP sehingga 17 Mei depan.

Sementara itu, lima negeri dikekalkan di bawah status perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang dan Sarawak.