- Iklan -
Berita

Buruh bunuh rakan tuntut hutang RM300 dihukum gantung

Pihak pembelaa warga Filipina Robin Radjani Saih gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Berdasarkan kertas pertuduhan, warga Filipina Robin Radjani didakwa membunuh Fazrin Ibrahim berusia 30 tahun ketika kejadian, di simpang masuk Taman Warisan, Lahad Datu, Sabah antara 1.20 tengah hari hingga 1.40 tengah hari pada 24 April 2018.
Berdasarkan kertas pertuduhan, warga Filipina Robin Radjani didakwa membunuh Fazrin Ibrahim berusia 30 tahun ketika kejadian, di simpang masuk Taman Warisan, Lahad Datu, Sabah antara 1.20 tengah hari hingga 1.40 tengah hari pada 24 April 2018.

Akibat bunuh rakan tuntut hutang RM300, seorang buruh kasar dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi hari ini selepas dia didapati bersalah melakukan perbuatan itu tiga tahun lepas di Lahad Datu.

Hakim Lim Hock Leng menjatuhkan hukuman itu terhadap warga Filipina, Robin Radjani Saih, 49, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Terdahulu, Lim dalam penghakimannya berkata mahkamah mendapati bahawa pihak pendakwaan telah membuktikan elemen pembunuhan yang melangkaui keraguan munasabah.

“Pembelaan tertuduh menyatakan tertuduh diprovokasi adalah tidak munasabah, mengambil kira hujah pendakwaan bahawa ketika kejadian cuaca panas, namun tertuduh memakai baju dua lapis serta sweater (baju sejuk) hanya untuk satu tujuan, menyorok parang di dalam baju dengan niat membunuh mangsa,” katanya.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Robin didakwa membunuh Fazrin Ibrahim berusia 30 tahun ketika kejadian, di simpang masuk Taman Warisan, Lahad Datu antara 1.20 tengah hari hingga 1.40 tengah hari pada 24 April 2018.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan memanggil sembilan saksi manakala pembelaan memanggil seorang saksi iaitu tertuduh sendiri untuk memberi keterangan.

Pendakwaan dikendalikan timbalan pendakwa raya Mohammed Ali Imran manakala tertuduh diwakili peguam Darmin Achok.

Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki maut dengan lehernya hampir putus akibat dikelar oleh rakannya menggunakan parang, manakala adik ipar mangsa berusia 11 tahun cedera di jari akibat terkena libasan parang, selepas mangsa dpercayai meminta suspek membayar hutang berjumlah RM300.

Ketika kejadian, mangsa sedang memandu dan adik ipar mangsa tertidur di tempat duduk hadapan kereta manakala suspek berada di tempat duduk belakang yang bertindak mengelar leher mangsa dari arah belakang menggunakan parang.