- Iklan -
Berita

Sarawak tangani cabaran unik dalam pendaftaran vaksinasi

Pihak berkuasa Sarawak menghadapi kesukaran menyusun sesi vaksinasi di kawasan pedalaman mengikut fasa dan kategori penerima vaksin.

Nur Shazreena Ali
2 minit bacaan
Kongsi
Keturunan Bidayuh Biatah yang masih memakai ruyang dan rusung ketika menangkap ikan. Penduduk pedalaman di Sarawak sukar dihubungi dan perlu bergantung dengan pejabat daerah bagi mengetahui jadual suntikan vaksin mereka ketika ini.
Keturunan Bidayuh Biatah yang masih memakai ruyang dan rusung ketika menangkap ikan. Penduduk pedalaman di Sarawak sukar dihubungi dan perlu bergantung dengan pejabat daerah bagi mengetahui jadual suntikan vaksin mereka ketika ini.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak Douglas Uggah Embah berkata bahawa kerajaan negeri sedang mengambil beberapa langkah bagi menangani cabaran unik dalam program vaksinasi Covid-19 warga Sarawak yang berbeza pendekatannya berbanding semenanjung.

Bercakap pada sidang media di Kuching hari ini, beliau berkata hanya 28% warga emas mendaftar bagi menerima vaksin setakat ini.

“Cuma 28% (yang mendaftar) sehingga kini. Jadi ini sangat rendah, dan kita akan berusaha sedaya upaya semua yang layak dapat peluang untuk vaksinasi.

“Kalau kita hanya bergantung kepada temujanji MySejahtera, akan ada banyak komplikasi di Sarawak,” katanya

Menurut beliau, pelbagai masalah yang dihadapi kerajaan berhubung isu tersebut dan telah mencadangkan kepada kerajaan pusat supaya negeri itu boleh menyelesaikan masalah vaksinasi dengan cara sendiri.

Beliau juga turut mencadangkan kepada kerajaan pusat bahawa negeri itu tidak mungkin menjalankan vaksinasi mengikut fasa.

“Sebagai contoh, bayangkan nak cari orang Penan di kawasan pedalaman sana. Banyak yang tak ada telefon pun,” jelasnya.

Sebaliknya, beliau berkata Sarawak berhasrat menjalankan vaksinasi kepada semua kategori di kawasan luar bandar pada masa yang sama ketika pegawai kesihatan menggerakkan pasukan ke daerah terpencil untuk menjalankan vaksinasi.

Beliau berkata pendekatan ini akan lebih berkesan kerana tidak memerlukan banyak kumpulan dikerahkan ke tempat yang sama beberapa kali mengikut kategori dan fasa mereka.

“Ketika kita bergerak ke kawasan pedalaman, masalah ini akan menjadi semakin serius, perhubungan sistem telefon pun tidak mantap dan sebagainya

“Jadi, mereka yang tidak ada telefon, mereka akan gunakan telefon pejabat daerah. Bila dapat senarai MySejahtera senarai itu akan dipanjangkan kepada pegawai daerah,”jelasnya.

Beliau merujuk kejadian di Sibu pada 19 April lalu apabila 72 orang tidak hadir dan tidak dapat dihubungi untuk sesi suntikan.

“Inilah yang kita nak elakkan supaya siapa yang sepatutnya vaksinasi waktu itu, dapat suntikan vaksin mereka.

Menurutnya lagi, kerajaan negeri turut tidak boleh menggunakan kad pengenalan kerana alamatnya mungkin berbeza dari tempat tinggal sebenar bakal penerima vaksin.

“Ya macam saya, alamat saya rumah panjang di Betong tapi saya duduk di Kuching. Jadi, jika kita menggunakan MySejahtera, sistem akan mengikuti alamat kita di IC dan saya mungkin didorong di Betong.

“Tapi orang kenallah siapa saya. Tetapi mereka yang tidak dikenali akan jadi masalah,”jelasnya lagi.

Uggah yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak turut menggesa rakyat Sarawak untuk turut memainkan peranan dengan mendaftar diri dalam program vaksinasi Covid-19.

“Saya gesa semua orang untuk daftar vaksinasi dan menjaga diri dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).”