Saturday, September 18, 2021

Tiada kelibat Anwar dalam serahan memorandum kepada Agong disertai Mahathir

Anwar dilaporkan menghadiri program ihya Ramadan dan acara pemberian sumbangan di Port Dickson.

Other News

Kemunculan bersama Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim untuk membantah proklamasi darurat tidak menjadi kenyataan hari ini apabila presiden PKR itu tidak hadir ke Istana Negara kerana mempunyai beberapa program di kawasannya di Port Dickson.

Kehadiran Anwar dan Mahathir sebelum ini diuar-uarkan penganjurnya, Gerakan Tamat Darurat yang diketuai Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad bagi mendesak darurat ditamatkan.

Kehadiran Anwar hari ini sepatutnya menjadi acara pertama yang menggabungkan beliau dengan Mahathir dalam sebuah acara selepas kedua-duanya menjarakkan diri selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) jatuh tahun lalu.

Jawatankuasa Tamat Darurat turut menjemput kedua-dua pemimpin itu untuk menyertai delegasi penyerahan petisyen kepada Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bagi menggesa perintah darurat ditamatkan bersama-sama Presiden Amanah Mohamad Sabu, dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Bagaimanapun seperti Anwar, Lim yang juga bekas menteri kewangan turut tidak kelihatan hari ini.

Antara pemimpin pembangkang yang turut hadir termasuk pemimpin PKR Maria Chin Abdullah, Fahmi Fadzil, dan Tian Chua, Hannah Yeoh dan Teresa Kok dari DAP dan Mukhriz Mahathir mewakili Pejuang.

Ini merupakan petisyen kedua diserahkan kepada Agong oleh Jawatankuasa Rayuan Tamatkan Proklamasi Darurat.

Surat pertama diserahkan kepada Agong pada 26 Mac lalu oleh Khalid tetapi menurutnya tiada sebarang jawapan.

Bercakap kepada pemberita hari ini, Mahathir mendakwa kerajaan tidak memberikan maklumat yang cukup kepada Agong sebelum perintah darurat diisytiharkan.

“Rakyat sekarang ini tidak seperti biasa, berasa tidak senang dengan keadaan ini, orang Melayu biasanya tidak menderhaka kepada raja.

“Orang Melayu dah mula berasa marah kepada raja, kita akan dapati di media sosial kerana mereka menderita akibat darurat,” kata bekas perdana menteri itu.

Ketika ditanya apakah tindakan yang akan diambil jika diperkenankan menghadap Agong bagi menjelaskan kebimbangan mereka, Mahathir berkata delegasi tidak dibenarkan untuk mengadap Agong.

“Kami hanya boleh jumpa setiausaha (sulitnya), sebelum ini, walaupun saya tidak lagi jadi perdana menteri saya dibenarkan masuk di pintu hadapan (Istana), tetapi sekarang saya terpaksa masuk dari pintu belakang,” tambahnya.

Dalam pada itu, Khalid berkata memorandum disampaikan melalui pegawai Istana untuk diserahkan kepada Agong.

“Kami yakin Yang di-Pertuan Agong akan bersetuju kami menghadap kerana kami mewakili rakyat jelata. Ia perlu dilakukan demi kepentingan negara dan demi kepentingan raja-raja Melayu,” katanya.

Darurat diisytiharkan pada Januari selepas berlakunya peningkatan kes Covid-19 di seluruh negara.

Pada masa sama, kerajaan melaksanakan perintah kawalan pergerakan buat kali kedua yang dikenali sebagai PKP2.0.

Perdana Menteri Muhyiddin yassin mengatakan kerajaan awam akan terus berfungsi dan berikrar tidak akan ada gangguan terhadap aktiviti ekonomi dan sistem kehakiman.

Beliau juga berkata Parlimen tidak akan berjalan sepanjang darurat, dan tiada pilihan raya akan diadakan dan menambah pilihan raya umum akan diadakan apabila jawatankuasa bebas darurat memberikan lampu hijau.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles