Sunday, October 17, 2021

Aktivis ingatkan ‘pandemik’ keganasan berdasarkan gender makin meningkat

Aktivis berkata pendekatan holistik diperlukan bagi meningkatkan langkah proaktif dalam menangani kes-kes demikian.

Other News

Aktivis hak wanita menggesa langkah proaktif diambil bagi membendung keganasan berdasarkan gender selepas kes meningkat sejak pandemik Covid-19 diumumkan tahun lalu.

NGO All Women’s Action Society (Awam) berkata bahawa beberapa laporan mengenai keganasan terhadap wanita meningkat kepada 261 orang pada 2020: 159 laporan gangguan seksual, sementara 81 laporan mengenai keganasan rumah tangga dan 21 berkait perbuatan rogol.

Angka-angka tersebut menunjukkan peningkatan ketara dari 2019, di mana 33 kes keganasan rumah tangga, 16 gangguan seksual dan tiga kes rogol dilaporkan.

Jurucakap kumpulan itu, Tan Chia Ee berkata salah satu faktor peningkatan kes adalah keadaan ekonomi akibat wabak Covid-19.

“(Masalah) ekonomi dan tiada kerja menjadi sebab signifikan stres meningkat sehingga menyebabkan keganasan turut meningkat,” katanya kepada MalaysiaNow.

Trend meningkat dalam keganasan rumah tangga diburukkan lagi dengan beberapa sekatan pergerakan susulan pelaksanaan beberapa tahap perintah kawalan pergerakan (PKP).

Menurut Tan lagi, hal ini menyebabkan ramai yang terkurung dalam ruang yang sama dengan si pelaku perbuatan ganas itu.

Pengarah Pusat Penyelidikan Wanita dan Gender Universiti Sains Malaysia Noraida Endut turut bersetuju dan menambah bahawa jumlah kes sebenar yang berlaku semasa PKP mungkin tidak dilaporkan kerana mangsa tidak boleh meninggalkan rumah mereka untuk membuat aduan.

“PKP bermaksud mangsa perlu tinggal serumah dengan pelakunya untuk jangka masa yang panjang, inilah yang kemudian meningkatkan kemungkinan berlakunya kekerasan,” katanya.

“Pelaksanaan PKP juga bermakna sukar bagi mangsa untuk dapatkan pertolongan.”

Noraida juga turut melahirkan kebimbangannya mengenai trend keganasan berdasarkan gender dalam talian yang menurutnya boleh memberi kesan yang besar kepada mangsa sama seperti penderaan fizikal kerana pelaku mungkin tidak mendedahkan namanya ketika melakukan tindakan tersebut, dengan anggapan mereka selamat dari pihak berkuasa.

“Sebagai contoh, jika seorang wanita menyatakan pendapat di media sosial yang dilihat berbeza dari norma sosial, dia mungkin mendapat ancaman rogol atau serangan seksual,” katanya.

Kes-kes yang meningkat itu disifatkan sebagai “pandemik senyap”. Tan berkata pendekatan holistik mesti diambil bagi menanganinya di samping turut menambah bahawa keganasan berdasarkan gender adalah masalah sistematik.

Tan memberitahu MalaysiaNow bahawa satu kes di Johor melibatkan seorang wanita yang diserang secara seksual telah ke balai polis untuk membuat laporan namun diberitahu bahawa dia diperkosa kerana tidak melawan si pelaku. Mangsa juga kemudian menerima ancaman lanjut dari si pelaku.

Tan menambah apa yang berlaku itu menunjukkan kurangnya kesedaran dari pihak berkuasa yang akan memberi impak jangka masa panjang terhadap mangsa.

“Kita perlu perbaiki sensitiviti polis dalam menguruskan kes-kes melibatkan keganasan berdasarkan gender bagi mengurangkan trauma mangsa,” katanya.

Tambahnya lagi, masyarakat juga perlu didedahkan dan ditingkatkan kesedaran mereka berhubung impak buruk keganasan berdasarkan gender.

Beliau mencadangkan orang ramai didedahkan dengan kemahiran-kemahiran bagaimana menanggapi kes keganasan itu sebagai responden pertama supaya mereka dapat menawarkan sokongan kepada mangsa ketika tahap awal kejadian ganas itu berlaku.

“Masyarakat selalunya adalah pihak pertama mangsa mendapatkan sokongan,” katanya.

“Hal ini boleh dilakukan dalam peringkat komuniti di mana kesedaran turut ditingkatkan bagi rasa kebersamaan dengan mangsa.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles