- Iklan -
Berita

Sukar yakinkan rakyat audio Anwar-Zahid palsu, kata Rais

Rais mahu siasatan forensik dilakukan terhadap rakaman audio perbualan tersebut.

Siva Selan
1 minit bacaan
Kongsi
Yang di-Pertua Dewan Negara Rais Yatim.
Yang di-Pertua Dewan Negara Rais Yatim.

Yang di-Pertua Dewan Negara Rais Yatim hari ini berkata sukar bagi Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Anwar meyakinkan rakyat untuk menafikan rakaman audio perbualan yang berlaku selepas Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini kerana ramai orang yang mengenali suara kedua-dua mereka.

Dalam sebuah ucapan di Mesyuarat Agung Tahunan Badan Kebajikan dan Kemajuan Anak-anak Melayu Negeri Sembilan beliau menjelaskan isu penafian Anwar dan Zahid disifatkan tidak meyakinkan lantaran mereka berdua adalah tokoh yang dikenali.

“Anwar dan Zahid sukar untuk yakinkan rakyat begitu sahaja lantaran kedua- dua pemimpin ini dikenali ramai. Lunaknya, intonasinya, kepimpinannya, dikenal oleh masyarakat.

“Jadi kalau dinafi, penafian itu harus substantive,” kata Rais.

Beliau turut menggesa rakaman audio tersebut disiasat dengan bantuan pakar forensik, bagi membuktikan suara tersebut adalah milik dua orang pemimpin itu.

Dalam rakaman berdurasi empat minit didedahkan MalaysiaNow, suara perbualan seakan dua pemimpin parti politik itu saling berterima kasih dan menyatakan rasa senang hati selepas perwakilan-perwakilan Umno bersetuju dengan usul Zahid supaya parti itu memutuskan hubungan dengan gabungan Perikatan Nasional (PN).

Dalam rakaman itu juga, Zahid didengar turut berterima kasih atas sokongan moral Anwar kepadanya.

MalaysiaNow yang menerima rakaman tersebut melalui sumber yang dipercayai boleh mengesahkan suara-suara yang dirakam tersebut adalah tulen milik dua pemimpin parti itu.

Kedua-dua pemimpin parti itu juga turut menafikan perbualan tersebut, dan menghantar pegawai masing-masing untuk melaporkan perkara berkenaan kepada polis.

Semalam, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador turut menggesa kedua-dua pemimpin parti politik itu untuk melaporkan perkara tersebut kepada pihak polis jika mereka benar-benar difitnah.