Sunday, May 16, 2021

Strim dalam talian tamatkan riwayat cakera padat?

Jualan berkurangan, pemilik kedai sudah tidak mampu hanya bergantung dengan jualan CD dan DVD.

Other News

Cakera padat (CD/DVD) yang satu ketika pernah menjadi perniagaan yang sangat laris setiap kali album dan filem diterbitkan dalam versinya, kini sukar bersaing dengan perkhidmatan strim dalam talian dan mungkin akan menguburkan terus era CD dan DVD yang pernah gemilang sebagai raja medium hiburan di rumah.

Ramai pengusaha perniagaan cakera padat merasai sendiri cabaran ini namun kedatangan pandemik Covid-19 menggandakan lagi kesukaran yang dihadapi perniagaan mereka.

Ia adalah ekoran tumbuhnya perkhidmatan strim atas talian seperti Netflix, Spotify dan Apple Music menjadikan CD atau DVD tidak lagi menjadi pilihan kerana orang ramai terpaksa duduk di rumah.

Pengusaha kedai-kedai CD yang ditemui MalaysiaNow berkata mereka kini sudah menjadi perniagaan yang hanya menunggu ajalnya sahaja.

Seorang peniaga CD di Shah Alam sejak beberapa dekad lalu, Sivakkumar berkata ketika ini sedang merancang untuk memulakan perniagaan baru kerana permintaan terhadap CD dan DVD sudah berkurangan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Beliau berkata perniagaannya terkesan teruk pertama kali ketika kerajaan melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) enam tahun lalu.

“Waktu itu, jualan jatuh teruk,” kenangnya.

Kemudian, katanya, keadaan jadi semakin buruk selepas perkhidmatan strim atas talian mula mendapat momentum dan bahkan peminat tegar filem pun tidak lagi membeli CD.

Sivakkumar juga sukar menjana pendapatan daripada perniagaannya, namun ketika Covid-19, perniagaannya jadi lebih sukar mendapat jualan.

Sebelum pelaksanaan GST, jualannya boleh menjangkau RM1,000 ke RM1,500 setiap bulan. Namun ketika ini, jumlah RM100 sudah dianggap jumlah yang banyak dan harus disyukurinya.

Dia memberitahu MalaysiaNow bahawa dia dan rakan kongsi kini dalam proses menghabiskan semua stok yang tidak terjual dengan harga serendah RM5 untuk satu CD.

“Kadang-kadang kami kenakan bayaran lebih rendah kerana kami dah syukur sangat sebab orang masih lagi terfikir untuk beli CD ketika zaman digital mengambil alih tempatnya.”

Selain itu, katanya, kebanyakan produksi dari industri Bollywood dan Tamil turut menerbitkan filem mereka melalui perkhidmatan strim.

Hal itu menjadi masalah kerana pembikin filem dan artis tidak lagi menghasilkan CD dan DVD sedangkan kedainya menawarkan filem-filem dan album dari sana.

“Hanya filem-filem dan muzik Inggeris sahaja yang masih bikin CD, tapi kami sudah tak ambil lagi stok baru,” katanya.

Di Petaling Jaya pula, situasi itu juga tidak ada bezanya.

Wallace, seorang pemilik kedai CD, berkata jualan kedainya menurun sehingga 50%.

Bagaimanapun, dia bernasib baik kerana perniagaannya dapat dikekalkan kerana turut menjual barangan lain seperti catan dan barangan perhiasan.

Namun, jualan CD di kedainya memang tidak dapat dinafikan semakin menjunam.

“Kami cuba jual CD dengan harga sebenarnya,” kata Wallace.

“Diskaun hanya diberikan jika pelanggan membeli dalam jumlah yang banyak.”

Menjual CD dan DVD filem-filem dari China, Wallace berkata dia memiliki beberapa orang pelanggan tetap daripada generasi lebih tua yang sering datang ke kedainya untuk mencari album-album lama.

Wallace bersetuju bahawa pelanggan muda lebih gemar memilih strim di atas talian daripada CD.

Perubahan tingkah laku pengguna ini mungkin dapat dilihat kemuncaknya selepas penutupan syarikat Speedy Video Distributors Sdn Bhd selepas 30 tahun dalam industri.

Rangkaian kedainya suatu ketika dulu pernah menjadi pilihan utama peminat muzik dan filem untuk membeli CD, DVD dan cakera padat Blu-ray.

Dengan cabaran pandemik Covid-19 ketika ini, langkah untuk menukar budaya perniagaan konvensional ke arah digital menjadi pilihan yang mungkin tidak dapat lagi dielak.

Semuanya demi melanjutkan jangka hayat perniagaan.

Namun, seperti yang diberitahu Sivakkumar kepada MalaysiaNow, langkah itu pun barangkali tidak lagi dapat menyelamatkan perniagaan CD dan DVD.

“Dunia sudah berubah..,” katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles