Saturday, July 24, 2021

Pemimpin Sarawak sambut mesra lawatan pertama Muhyiddin sebagai PM

Kunjungan perdana menteri itu diadakan ketika sekumpulan pemimpin tertinggi Umno mula menunjukkan bantahan kepada kerajaan.

Other News

Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg mengalu-alukan kunjungan Muhyiddin Yassin hari ini selain menyambut baik jaminan perdana menteri untuk menjadikan Sarawak negeri paling maju di Malaysia.

Berucap di hadapan penjawat awam di Ranyai Ballroom, Hotel Waterfront Kuching, kedua-dua pemimpin itu berikrar untuk merapatkan hubungan dan kerjasama dalam mencapai sasaran pembangunan sepuluh tahun Sarawak, dengan penekanan infrastruktur dan pertanian.

Abang Johari dalam ucapannya mengucapkan terima kasih kepada Muhyiddin atas bantuan yang diberikan kepada Sarawak bagi mengatasi kesan ekonomi wabak Covid-19.

“Sudah tentu Sarawak juga menerima bantuan yang telah diberi perdana menteri kita. Terima kasih, atas keprihatinan anda terhadap Sarawak,” katanya.

Kunjungan Muhyiddin hari ini adalah lawatan pertama secara rasmi perdana menteri ke Sarawak sejak Perikatan Nasional (PN) ditubuhkan dengan bantuan beberapa ahli Parlimen negeri itu.

Muhyiddin turut berkata beliau tersentuh dengan sokongan yang ditunjukkan oleh ketua menteri.

“Saya tak ingat bila kali terakhir saya berada di sini, mungkin semasa pentadbiran kerajaan sebelum ini.

“Tetapi saya tidak pernah bayangkan saya akan datang ke sini lagi sebagai perdana menteri,” kata Muhyiddin.

Kunjungan Muhyiddin hari ini diadakan walaupun kerajaan PN sering diserang Pengerusi Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi.

Ahli Parlimen dari GPS Sarawak, gabungan politik kerajaan negeri yang dibentuk setelah kejatuhan BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 telah menyatakan sokongan Muhyiddin sebagai perdana menteri Malaysia tahun lalu.

Salah satu langkah pertama Muhyiddin sejak memegang jawatan perdana menteri adalah menyelesaikan cukai jualan petroleum bernilai bilion ringgit yang dikenakan ke atas Putrajaya, berikutan kegagalan kerajaan sebelumnya untuk memenuhi janji meningkatkan pembayaran royalti minyak yang diekstrak dari Sarawak.

Muhyiddin hari ini turut berikrar kerajaan PN akan menyokong usaha menjadikan Sarawak sebagai negeri paling maju di negara ini kerana menurutnya, negeri itu memiliki sumber untuk mencapai sasaran pembangunan.

Katanya lagi, sasaran pembangunan 10 tahun Sarawak adalah sejajar dengan hala tuju Putrajaya ketika ini.

“Anda dapat lihat bagaimana kerajaan persekutuan dan Sarawak bekerja dengan erat.

“Jalan untuk Sarawak maju nampaknya sangat menjanjikan. Saya jamin kami akan beri sokongan penuh untuk realisasikan visi menjadikan Sarawak sebagai negeri paling maju di Malaysia.

“Sarawak adalah negeri yang sangat kaya, kaya dengan pelbagai sumber,” tambahnya lagi.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles