- Iklan -
Berita

Jangkitan kuman di paru-paru, Prebet Adam meninggal dunia

Lelaki yang terkenal dengan kejadian amuk di Jalan Chow Kit lebih 30 tahun dulu menghembuskan nafas terakhir di Pulau Pinang.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Keratan akhbar ketika Prebet Adam ditahan polis pada tahun 1987.
Keratan akhbar ketika Prebet Adam ditahan polis pada tahun 1987.

Adam Jaafar atau lebih dikenali sebagai Prebet Adam dilaporkan meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang (HPP) semalam, akibat jangkitan kuman pada paru-paru.

Menurut adiknya, Hawa, 56, Adam meninggal dunia pada usia 57 tahun, kira-kira 9 pagi semalam ketika menerima rawatan di HPP dan jenazah telah dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Datuk Keramat selepas solat Zohor.

“Sebelum ini abang memang tiada sakit apa-apa, Allahyarham sihat sahaja cuma kadang-kadang demam, itu biasalah…cuma minggu lepas dia masuk hospital dan pemeriksaan doktor kata ada jangkitan kuman pada paru-paru,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Hawa berkata Adam, anak sulung daripada lapan beradik, adalah seorang abang yang sentiasa mengambil berat tentang adik-beradik lain dan mereka sekeluarga merasa sedih dengan pemergian abangnya itu.

Adam pernah menggemparkan negara selepas mengamuk di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur pada Oktober 1987 dan dalam kejadian itu, seorang lelaki terbunuh akibat terkena tembakan rambang.

Adam yang berumur 26 tahun ketika kejadian, terlepas daripada hukuman mati dan dihantar ke Hospital Tanjung Rambutan selama 10 tahun kerana disahkan tidak siuman ketika melakukan kesalahan berkenaan.

Ikuti kami di Telegram untuk kemas kini terkini: https://t.me/malaysianowbm

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi

Artikel Berkaitan

Tiada artikel ditemui.