- Iklan -
Berita

Anak autistik tidak jalani terapi sepanjang PKP, siapa paling susah?

Bukan hanya anak-anak autistik yang terpaksa jalani kesukaran apabila bantuan profesional tidak dapat diterima sepanjang PKP.

Farhira Farudin
3 minit bacaan
Kongsi
Anak yang memiliki spektrum autisme adalah anak istimewa yang memerlukan pendidikan khusus. Gambar: AP
Anak yang memiliki spektrum autisme adalah anak istimewa yang memerlukan pendidikan khusus. Gambar: AP

Untuk mengikut rutin harian seorang anak autistik adalah satu perkara sukar.

Mereka memerlukan satu susunan yang tidak boleh diubah.

Jika tidak, mereka akan menunjukkan tingkah laku yang sukar difahami orang lain.

Yayasan Pendidikan Insani adalah sebuah pusat di mana anak-anak autistik daripada keluarga berpendapatan rendah mendapatkan khidmat rawatan terapi yang diperlukan demi memberi peluang kepada mereka menjalani kualiti hidup yang sama dengan anak-anak lain.

Bagaimanapun, Insani sudah ditutup sejak setahun lalu semenjak pandemik melanda negara.

Anak lelaki Nur Ezlyn Farah, Muhammad Dayyan Farish disahkan menghidap autisme ringan ketika berusia tiga tahun.

Dayyan didaftar untuk menyertai rawatan terapi di Insani pada usia empat tahun.

Selepas menjalani terapi beberapa bulan, dia tidak lagi memerlukan banyak pertolongan bagi menjalani rutin hariannya. Dayyan sudah pandai mengikut jadual dan tahu bila waktunya dia perlu membersihkan diri bahkan pandai pula untuk menyiapkan sarapan.

Selain itu, anak lelaki Farah itu juga sudah pandai mengucapkan beberapa perkataan.

Namun, apabila pandemik bermula, Farah terpaksa melakukan semua terapi anaknya di rumah.

Insani pula, sebagai pusat pendidikan anaknya, cuba membantu semampu mereka.

“Tidak mungkin guru di Insani dapat buat kelas dalam talian macam sekolah biasa,” kata Farah kepada MalaysiaNow.

“Mereka sudah cuba laksanakan kelas dalam talian, namun sangat sukar baginya untuk belajar. Dia tidak boleh tenang sepanjang kelas.”

Ketika Insani terpaksa ditutup akibat perintah kawalan pergerakan (PKP), Anis Mahzuz Sharudin, terpaksa memberikan perhatian sepenuh masa kepada anaknya yang berusia lima tahun, Muhammad Ayden Muhammad Hafiz.

Ibu berusia 33 tahun yang merupakan seorang pegawai sumber manusia sepenuh masa memberitahu MalaysiaNow aktiviti luar sukar dilakukan bersama Ayden kerana keadaan mereka yang tinggal di rumah pangsa.

Lebih menyukarkan keadaan, tanpa terapi dari Insani, anak autistik bukan sekadar menunjukkan tingkah laku lama.

Masalah tingkah laku yang baru turut muncul.

“Dia alami masalah sampai tidak mahu makan selama dua minggu. Tiba-tiba saja alami fobia makanan, bahkan sampai tak mahu minum air. ”

Menurut Anis, Ayden juga menunjukkan perilaku yang boleh membahayakan diri sendiri.

“PKP ganggu emosi dia. Apa yang dia boleh lakukan hanya mengamuk setiap hari. Kami terpaksa minta gurunya di Insani untuk ajar kami terapi yang boleh meredakan masalahnya.”

Munqiza Naqhiya, 28, merupakan eksekutif penyelidikan di Insani.

Peranannya di Insani turut melibatkan penelitian kaedah terapi kanak-kanak autistik dan mencari dana untuk yayasan itu.

“Merawat kanak-kanak autistik adalah pekerjaan sepenuh masa. Anda tidak boleh buat kerja dan merawat anak autistik sekali gus,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Kanak-kanak autistik memerlukan perhatian sepenuh masa. Sekiranya tidak dapat perhatian, mereka tidak boleh memikirkan tindakan sendiri dan boleh membahayakan diri.”

Kanak-kanak autistik boleh memukul diri sendiri ketika mereka stres dan buat perangai, katanya.

Semasa terapi, mereka akan menjalani aktiviti yang dapat mengurangkan risiko kecederaan diri.

Namun, disebabkan kawalan pergerakan yang dilaksanakan akibat wabak, ramai daripada mereka mereka menunjukkan perilaku seperti sebelum mendapat rawatan terapi.

“Sebilangan besar pelajar kami terpaksa duduk di rumah dan terlepas sesi terapi, keadaan mereka mula merosot dan kadang-kadang mereka jadi sama macam sebelum ini.

“Ada ibu bapa beritahu kami bahawa setahun lalu anak-anak mereka sudah kurang pukul diri sendiri, tetapi sekarang kerana mereka dah tak boleh datang lagi ke pusat terapi, keadaan mereka mula merosot dan pukul diri mereka balik.”

Sepanjang PKP dilaksanakan, ibu bapa terpaksa belajar sendiri bagaimana menjalankan rawatan terapi untuk anak-anak autistik.

Hal ini sangat menyukarkan, terutama ketika mereka harus bekerja sepenuh masa.

Jawapan kepada persoalan siapa yang paling menderita kerana pusat terapi ditutup akibat PKP, tentulah anak-anak itu sendiri.

Bagaimanapun ibu bapa turut mengalami kesukaran.

Munqiza memberitahu MalaysiaNow bahawa Insani berusaha sebaik mungkin untuk terus berhubung dengan ibu bapa yang memerlukan bantuan sepanjang PKP.

“Pada dasarnya, boleh kita katakan hanya kami sajalah sumber mereka dapatkan nasihat. Mereka beritahu kami segala-galanya, malahan ketika PKP menyebabkan kami terpaksa tutup operasi, situasi kami jadi sukar, dan situasi ibu bapa pun turut sukar.

“Tidak banyak yang boleh kita lakukan dari jauh.”