- Iklan -
Berita

Zahid keluarkan RM9.3 juta wang Yayasan Akalbudi selepas PRU14

Wang yang dikeluarkan kemudian dipindahkan ke akaun Yayasan Al-Falah milik adik Zahid, Mohamad Nasaee.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi. Gambar: Bernama
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi. Gambar: Bernama

Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa Ahmad Zahid Hamidi mengeluarkan wang berjumlah RM9,302,823.66 daripada akaun Yayasan Akalbudi milik bekas timbalan perdana menteri itu selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Saksi pendakwaan terakhir yang juga Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Khairudin Kilau, 44, berkata hasil siasatannya, wang tersebut yang dikeluarkan pada 28 Mei 2018, dipindahkan ke akaun Yayasan Al-Falah milik adik Zahid, Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi.

“Pemindahan wang itu terletak pada kuasa tertuduh (Zahid) kerana beliau penandatangan tunggal dalam Yayasan Akalbudi,” jawabnya ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Lee Keng Fatt semasa pemeriksaaan utama mengenai pengeluaran wang tersebut.

Saksi pendakwaan ke-99 itu berkata demikian pada hari ke-52 perbicaraan Zahid yang menghadapi pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan jutaan ringgit daripada dana Yayasan Akalbudi.

Ditanya Lee, mengenai tujuan pemindahan wang tersebut, Khairudin menjawab: “Saya tidak berapa jelas. Minit mesyuarat atau resolusi mengenai pemindahan wang itu juga tidak ditemui.”

Mengenai transaksi keluar masuk wang Yayasan Akalbudi dalam tempoh 12 Disember 2012 hingga 31 Mei 2018, saksi itu berkata berdasarkan penyata akaun Affin Bank Berhad milik Yayasan Akalbudi, terdapat keluar masuk wang lebih kurang RM100 juta.

Ketika membacakan pernyataan saksinya, Khairudin berkata sebanyak RM360,000 wang Yayasan Akalbudi dikeluarkan untuk dibayar kepada TS Consultancy & Resources bagi menjalankan soal selidik dan kajian pengundi pilihan raya.

“Berdasarkan dokumen-dokumen dan maklumat saksi-saksi, isu bayaran kepada TS Consultancy & Resources menunjukkan ia digunakan untuk menjalankan soal selidik dan kajian pengundi.

“Pemilik syarikat iaitu Jasni Majid dan Sabri Said mengesahkan bahawa syarikat TS Consultancy ditubuh pada 2015 bagi program pendaftaran pengundi di lapangan dengan kerjasama parti Umno dan di awal penubuhan menerima dana daripada pejabat parti Umno,” katanya.

Mengenai penubuhan Yayasan Akalbudi, saksi itu berkata pejabat yayasan tersebut tidak pernah beroperasi di alamat yang didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Berdasarkan notis pendaftaran SSM, yayasan itu didaftarkan di alamat 69E-4, Jalan Raja Abdullah.

Khairudin berkata hasil pemeriksaannya di alamat tersebut bagi mendapatkan laporan tahunan, laporan audit serta minit mesyuarat Yayasan Akalbudi, mendapati yayasan itu tidak beroperasi di alamat berkenaan.

“Dokumen-dokumen tersebut tidak ditemui kerana alamat yang didaftarkan dengan SSM, tiada pejabat Yayasan Akalbudi beroperasi di situ,” katanya dan memberitahu bahawa Yayasan Akalbudi tidak pernah menyerahkan dokumen-dokumen tersebut kepada SSM.

Ditanya Lee, jika saksi ada bertanya kepada Setiausaha Yayasan Akalbudi, Mahinder Kaur Teja Singh mengenai dokumen-dokumen itu, Khairudin menjawab: “Beliau (Mahinder) kata tak simpan dokumen berkenaan, tidak pernah mengadakan mesyuarat serta tidak menyediakan laporan audit yayasan itu.

“Beliau (Mahinder) memberitahu bahawa tiada arahan daripada pengurusan Yayasan Akalbudi untuk membuat mesyuarat atau menyediakan laporan audit,” kata saksi itu.

Khairudin juga berkata siasatannya mendapati Tetuan Lewis & Co bukan pemegang amanah atau peguam kepada Yayasan Akalbudi seperti yang dicadangkan pihak pembelaan sepanjang perbicaraan kes tersebut.

“Pelanggan Lewis & Co ialah Yayasan Al-Falah dan Zahid sendiri. Lewis & Co menguruskan bagi kes-kes sivil Zahid,” katanya dan menambah bahawa tiada hubungan rasmi di antara Yayasan Akalbudi dan Yayasan Al-Falah.

Khairudin adalah pegawai penyiasat SPRM ke-10 yang dipanggil pihak pendakwaan.

Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan berlangsung di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah.