Tuesday, November 30, 2021

Lebih ramai ibu bapa langgar SOP sekolah berbanding murid

Masih ramai ibu bapa mengamalkan sikap pentingkan diri sendiri terutama ketika mengambil anak mereka selepas sesi persekolahan.

Other News

Ketika Putrajaya mengumumkan sesi persekolahan secara bersemuka akan dilaksanakan semula secara bertahap dari 1 Mac lalu, kebimbangan angka jangkitan Covid-19 meningkat secara mendadak ketika ia masih mencatat empat digit turut dibangkitkan sekiranya kepatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) diamalkan sambil lewa.

Setelah dua minggu para pelajar kembali masuk ke kelas mereka, kepatuhan SOP dilihat semakin berkurangan – namun bukan pelajar yang tidak patuh.

Sebaliknya, ibu bapa pelajar yang didapati tidak mematuhinya berbanding anak-anak mereka.

Kesatuan perkhidmatan perguruan kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) berkata pihaknya menerima banyak aduan mengenai kedegilan ibu bapa yang tidak mengendahkan SOP dalam penjagaan jarak sebagai langkah mengelakkan jangkitan wabak itu.

Setiausaha Agung NUTP Harry Tan Huat Hock berkata pihaknya menerima aduan melibatkan pelanggaran SOP oleh kumpulan ibu bapa yang berkerumum di depan pagar semasa mereka mengambil anak dari sekolah

“Disebabkan insiden itu berlaku di luar pagar sekolah, ia sudah menjadi di luar kuasa guru-guru. Oleh itu, disarankan untuk pihak polis dapat membuat rondaan bagi memantau perkara ini,” kata Harry kepada MalaysiaNow.

Selepas ditutup sekian lama akibat peningkatan kes jangkitan Covid-19 yang secara konsisten berjumlah empat angka sejak Disember lalu, murid pra sekolah dan sekolah rendah dibenarkan kembali ke sekolah bermula 1 Mac.

Bagi murid sekolah menengah, sekolah akan bermula pada 4 April kecuali murid Tingkatan 5 yang akan memulakan sekolah pada 8 Mac.

Keluhan serupa diluahkan oleh guru Sekolah Kebangsaan Pilin di Rembau, Negeri Sembilan, Nurul Mazlina Mohd Din yang mengharapkan agar ibu bapa dapat memberi kerjasama sepenunya dengan pihak sekolah.

“Dari pemerhatian pihak sekolah sepanjang dua minggu, ada antara ibu bapa merasakan SOP terlalu menyusahkan,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Berlaku sedikit salah faham di antara ibu bapa dan pengurusan sekolah apabila proses penyuraian antara waktu sekolah pagi dan sekolah agama di waktu petang.”

Mazlina bagaimanapun berusaha untuk mencapai kata sepakat agar ibu bapa dan murid masih dapat mematuhi SOP yang ditetapkan.

Menurut Mazlina, penjarakan fizikal melibatkan pelajar sekolah rendah masih sukar dilakukan khususnya melibatkan murid tahun 1.

Murid patuhi SOP dalam sekolah

Haryati Karim yang menghantar anaknya, Nur Hannah Hazrel Ezriq di Sekolah Kebangsaan Bukit Jalil, Kuala Lmpur berkata, pematuhan SOP murid sewaktu berada dalam sekolah secara umumnya masih baik.

“Rata-rata pelajar patuh dengan arahan guru untuk memakai pelitup muka, sanitasi tangan dan menjaga jarak di dalam kawasan sekolah tetapi apabila pulang perkara itu sudah tidak diamalkan lagi lebih-lebih lagi sewaktu bermain dengan rakan-rakan.

“Anak juga tiada rungutan untuk patuh dengan SOP kerana berasa teruja dapat pergi ke sekolah setelah sekian lama bercuti.

“Sebagai ibu saya sentiasa memastikan Hannah lengkap memakai pelitup muka, membawa sanitasi tangan sewaktu berada di sekolah,” katanya yang turut menghargai guru yang berusaha melakukan persediaan terbaik memeriksa suhu pelajar dan mengasingkan murid-murid supaya tidak bertembung atau bersesak di dalam sekolah.

Disebabkan itu kerjasama antara guru dan ibu bapa adalah penting agar para pelajar dapat meneruskan sesi pembelajaran secara fizikal dan tidak lagi bergantung dengan pembelajaran dan pengajaran di rumah (PdPR).

Mohd Kamil Abdul Latiff yang mewakili persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Kementah, Kuala Lumpur memandang serius terhadap pematuhan SOP pelajar di dalam kawasan sekolah.

Perkara tersebut diberi penekanan buat pelajar tahun 1 dan tahun 2 memandangkan kedua-dua masih baru dengan persekitaran pembelajaran di sekolah.

“Sejak Mac tahun lalu sesi persekolahan ditutup dan masyarakat mula diperkenalkan dengan norma baru iaitu PdPR, memakaian pelitup muka dan penggunaan sanitasi tangan.

“Banyak yang kita pelajari daripada fenomena covid ini khususnya dalam aspek pemeliharaan kesihatan dan juga pematuhan budaya bermasyarakat.

“Oleh itu hampir setahun kita mengamalkan gaya hidup sebegitu dan boleh dikatakan 100% pelajar patuh kepada arahan,” kata Kamil yang juga seorang anggota tentera berpangkat kolonel.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles