Monday, August 2, 2021

Pesawah digesa lapor manipulasi harga benih padi sah kepada kementerian

Kerajaan jamin benih padi sah sentiasa mencukupi untuk kegunaan pesawah.

Other News

Pesawah padi di Kerian diminta melaporkan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan sekiranya terdapat pihak yang memanipulasi harga benih padi sah melebihi pada harga yang ditetapkan iaitu RM35 bagi setiap 20 kilogram.

Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri Razman Zakaria bagaimanapun berkata sehingga kini pihaknya belum menerima sebarang aduan meskipun terdapat dakwaan segelintir pesawah di daerah itu mengenai isu berkenaan.

“Kita minta pesawah membeli benih padi sah daripada pengedar tunggal Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan jangan membeli dengan pihak atau individu yang cuba memanipulasi harga benih padi dengan menaikkan harga daripada yang telah ditetapkan kerajaan.

“Kita memberi jaminan benih padi sah sentiasa mencukupi jadi mereka (pesawah) tidak perlu khuatir dan bimbang dengan bekalan benih padi sah di sesuatu kawasan,” katanya ketika ditemui pemberita di Jeti Pangkalan Polis Marin Kuala Kurau hari ini, selepas menyertai operasi mencari dan menyelamat seorang nelayan tempatan yang hilang di perairan Kuala Kurau.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Kuala Kurau Leftenan Maritim Mohd Faiz Sujari berkata operasi bermula pukul 9 pagi melibatkan kira-kira 30 pegawai dan anggota daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Pasukan Polis Marin dan Pejabat Perikanan Daerah Kerian serta dibantu 20 bot nelayan daripada Persatuan Nelayan Tanjung Piandang.

Beliau berkata mangsa Ng Choon Lee berusia 62 tahun ditemukan lemas oleh sekumpulan nelayan, 11 pagi tadi kira-kira 15 batu nautika dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh daripada bot semasa menangkap ikan, Sabtu lepas.

Selain Razman, operasi itu turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Kurau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Masyarakat Sivil negeri, Abdul Yunus Jamahri.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles