Tuesday, April 20, 2021

Bekas ahli Parlimen PKR keluar parti masih belum putuskan bertanding PRU15

Choong serah kepada pengundi untuk nilai prestasi beliau sebagai wakil rakyat.

Other News

Bekas ahli Parlimen PKR yang keluar parti bagi menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin masih belum membuat keputusan sama ada akan bertanding Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) atau tidak.

Ahli Parlimen Tebrau Steven Choong berkata, beliau menyerahkan keputusan tersebut kepada rakyat untuk menilai perkhidmatannya sebagai wakil rakyat mereka.

“Saya adalah ahli Parlimen bebas, sekiranya rakyat masih mahu perkhidmatan dan ingin bertanding, saya akan masuk bertanding,” kata Choong yang berusia 68 tahun itu kepada MalaysiaNow.

“Namun, atas tiket apa itu saya belum buat keputusan”.

Pada Ahad, Choong dan Ahli Parlimen Julau Larry Sng mengisytiharkan keluar PKR dan menjadi bebas yang menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Kedua-dua Choong dan Sng menyerahkan akuan berkanun (SD) kepada Muhyiddin dalam satu majlis yang turut dihadiri Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, termasuk Mohamad Azmin Ali, Zuraida Kamaruddin dan Saifuddin Abdullah, tiga bekas ahli Parlimen PKR yang keluar parti untuk menyertai Kabinet Muhyiddin.

Langkah ini dilihat akan menguatkan lagi blok kerajaan sekiranya Dewan Rakyat bersidang semula, selepas ugutan ahli-ahli Parlimen Umno yang setia kepada bekas perdana menteri, Najib Razak untuk menarik kembali sokongan kepada Muhyiddin.

Tindakan Choong dan Sng menyebabkan jumlah kerusi PKR di Dewan Rakyat berkurangan kepada 36, setahun selepas sekumpulan ahli Parlimen yang diketuai oleh Azmin yang juga bekas timbalan presiden keluar parti menyebabkan berlakunya perubahan kerajaan.

Choong memberitahu MalaysiaNow, keputusannya keluar PKR adalah dengan kerelaan sendiri.

“Saya tidak ajak ahli PKR keluar parti kerana saya hanya ahli bebas yang tidak masuk dalam mana-mana parti,” katanya.

“Saya sendiri meminta agar dikeluarkan daripada kumpulan WhatsApp PKR Tebrau.”

Choong berkata, fokusnya kini adalah membela nasib rakyat dan membantu merancakkan ekonomi negara.

“Sebagai seorang ahli Parlimen bebas, saya mempunyai akses kepada sesiapa yang mempunyai kuasa mengenai isu rakyat termasuk komuniti perniagaan,” katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles