- Iklan -
Berita

Potong giliran terima vaksin akan dikenakan kompaun, kata menteri kesihatan

Akta 342 akan digunakan terhadap individu yang memotong barisan bagi suntikan vaksin Covid-19.

Fazreen Kamal
1 minit bacaan
Kongsi
Mereka yang memotong barisan untuk suntikan vaksin bakal berdepan tindakan tegas kerajaan. Gambar: Bernama
Mereka yang memotong barisan untuk suntikan vaksin bakal berdepan tindakan tegas kerajaan. Gambar: Bernama

Individu yang memotong giliran untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 bakal berdepan kompaun dan tindakan undang-undang mengikut Akta 342 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, kata Menteri Kesihatan Dr Adham Baba.

Katanya, seksyen tertentu dalam akta berkenaan boleh digunakan terhadap individu berkenaan kerana menghalang atau merencatkan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

“Dalam Akta 342, kita ada beberapa seksyen yang boleh digunakan untuk membawa seseorang itu ke muka pengadilan untuk didenda sekiranya menghalang, membantutkan usaha untuk kita mengawal mencegah Covid-19 ini, itu sudah pasti,” katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), di Putrajaya hari ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, yang turut hadir pada sidang media itu berkata, isu memotong giliran bagi mendapatkan suntikan vaksin bukan berpunca daripada kegagalan proses pendaftaran sebaliknya wujud unsur tertentu yang disalah gunakan.

“Bagi merungkai isu ini, kita tubuhkan jawatankuasa kecil bagi meneliti senarai penerima mengikut kategori, termasuk contohnya dalam kalangan pegawai farmasi yang mengemuka permohonan untuk diberikan keutamaan mendapatkan vaksin.

“Kita akan pastikan tiada yang ‘potong’ atau ‘lompat’ barisan untuk dapatkan vaksin. Kalau anda bukan petugas barisan hadapan, sila tunggu dan beratur.

“Kalau perlu, kita akan tambahkan kuasa kepada menteri kesihatan untuk kompaun mereka yang ‘potong’ barisan,” katanya.