- Iklan -
Berita

Mengejek tak membantu perbaiki kelemahan bahasa Inggeris guru, kata pendidik

Mereka berkata, sebutan yang tidak tepat seharusnya dibetulkan secara positif, bukannya mengejek kerana ia tidak memperbaiki apa-apa.

Siva Selan
2 minit bacaan
Kongsi
Zulkifli Mohamad, 38, (kiri) dan isteri, Nor Hidayu Zakaria, 39, (tiga, kiri) memantau sesi pembelajan anak-anak mereka menerusi saluran program DidikTV di Taman Adis Indah, Kuala Ibai baru-baru ini. Gambar: Bernama
Zulkifli Mohamad, 38, (kiri) dan isteri, Nor Hidayu Zakaria, 39, (tiga, kiri) memantau sesi pembelajan anak-anak mereka menerusi saluran program DidikTV di Taman Adis Indah, Kuala Ibai baru-baru ini. Gambar: Bernama

Pendidik mempertahankan guru sains yang baru-baru ini dikritik di media sosial kerana tidak menyebut perkataan bahasa Inggeris dengan tepat dalam program di TV pendidikan, mengatakan mengejek tidak membantu meningkatkan tahap penguasaan bahasa Inggeris di negara ini.

Guru tersebut, Rafidah Rahmat dijadikan bahan jenaka kerana penyampaiannya di DidikTV di mana dia bercakap dengan intonasi yang lemah selain tidak menyebut dengan tepat beberapa perkataan.

Klip video selama 88 saat penyampaiannya itu tular di media sosial dengan ramai yang mengkritik dan menjadikannya bahan jenaka.

Seorang guru bahasa Inggeris di sekolah awam Noor Azman Zainol berkata, Rafidah tidak bernasib baik hanya kerana bercakap di hadapan kamera.

“Jika bahasa Inggerisnya tidak berapa baik, siapa yang memilih dia? Apakah dia langsung tidak diberikan latihan?” soalnya.

“Orang-orang ini yang seharusnya dipertanggungjawabkan dengan kualiti keseluruhan program TV tersebut,” katanya.

Noor Azman yang juga pembantu pentadbir kanan di SMK Seri Badong berkata, standard bahasa Inggeris Malaysia menjadi semakin buruk sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Dia bagaimanapun berkata, mengejek kemampuan bahasa Inggeris Rafidah secara terbuka akan melemahkan semangatnya dan yang lain terutamanya murid untuk menggunakan bahasa tersebut kerana takut melakukan kesalahan dan akan ditertawakan.

Prof Madya Surinderpal Kaur Chanan Singh dari Universiti Malaya (UM) bersetuju dengan perkara itu.

Katanya, kesilapan sebutan seharusnya dibetulkan secara konstruktif dan bukannya mengejek orang yang melakukan kesalahan itu.

“Sebelum membetulkan seseorang, kita harus bertanya pada diri kita: adakah kita melakukannya untuk menolong orang itu atau menjadikan mereka bahan ejekan?

“Kalau untuk mengejek mereka, lebih baik kita diam sahaja. Kalau mahu menolong, lakukannya secara tertutup. Mengejek orang adalah tidak produktif dan tidak mencapai apa-apa selain mengaibkan mereka,” katanya kepada MalaysiaNow.

Surinderpal yang mengetuai fakulti bahasa dan linguistik UM menambah, adalah penting untuk membezakan tatabahasa yang tidak baik dengan pelat rakyat Malaysia.

“Cara rakyat Malaysia menyebut perkataan bahasa Inggeris tidak semestinya tidak baik,” katanya.

“Ia merupakan kepelbagaian bahasa Inggeris di seluruh dunia. Ia sebenarnya mempunyai nilai dan sebahagian daripada budaya dan identiti kita.”

Surinderpal yang mengetuai fakulti bahasa dan linguistik UM menambah, adalah penting untuk membezakan tatabahasa yang tidak baik dengan pelat rakyat Malaysia.

Dalam kes Rafidah, katanya isunya adalah kesalahan menggunakan penekanan dan intonasi apabila bercakap kepada umum.

Dia mencadangkan, latihan diberikan untuk bercakap secara biasa kepada umum dengan mengambil kira intonasi dan sebutan.

Menyebut perkataan dengan pelat rakyat Malaysia bukanlah satu masalah asalkan mesej berjaya disampaikan, tambahnya.

“Memahami mesej lebih bermakna kepada saya daripada menjadi rigid dengan tatabahasa atau sebutan yang betul. Kita seharusnya membantu orang meningkatkan kemahiran dan keyakinan bercakap dalam bahasa Inggeris.”

Noor Azman turut bersetuju, kuncinya adalah menolong.

Katanya, seseorang yang tidak menguasai bahasa Inggeris dengan baik seharusnya dibantu secara positif berbanding melakukannya secara negatif.

Untuk fasih dan tepat dalam bahasa akan dibantu dengan latihan, katanya.

“Lebih banyak kesalahan dilakukan anda dengan mencuba, lebih banyak yang anda akan pelajari.”

Bagi yang masih belum mampu berbahasa Inggeris dengan baik, Surinderpal berkata mereka tidak seharusnya negatif.

“Jika sebutan anda dibetulkan, terimanya sebagai maklumbalas konstruktif, perbaiki diri anda dan terus maju.

“Perbanyakan bercakap, membaca dan menulis dalam bahasa Inggeris secara kerap. Paksa diri anda untuk membaca akhbar berbahasa Inggeris, dengar bagaimana penyampai berita bercakap dalam bahasa Inggeris dengan baik. Kalau kita jarang melakukannya, ia tidak akan membantu.”