- Iklan -
Berita

Tentera diberi kuasa menangkap, kata PM ketika umumkan tindakan lebih tegas kepada pelanggar SOP

Arahan itu dilakukan di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 untuk menurunkan kuasa polis kepada tentera.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Anggota polis bersama tentera mengadakan sekatan jalan raya. Tentera akan diberikan kuasa untuk menahan pihak yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Anggota polis bersama tentera mengadakan sekatan jalan raya. Tentera akan diberikan kuasa untuk menahan pihak yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari Ini mengatakan tentera akan diberikan kuasa untuk menahan pihak yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kesihatan Covid-19, antara langkah tegas yang akan diambil menggunakan kuasa darurat pandemik.

“Untuk meningkatkan lagi keupayaan tindakan penguatkuasaan kerajaan dalam memerangi Covid-19, saya mengeluarkan arahan di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 untuk menurunkan kuasa polis kepada Angkatan Tentera Malaysia bagi membuat penangkapan, pemeriksaan dan rampasan semasa membantu agensi-agensi lain melakukan tugas pencegahan pendatang tanpa izin (Pati) dan operasi pencegahan Covid-19,” kata Muhyiddin dalam perutusan khasnya hari ini.

Beliau turut mengumumkan undang-undang lebih tegas akan diperkenalkan terhadap pihak melanggar SOP termasuk mengambil alih kemudahan swasta untuk mengadakan ujian saringan Covid-19.

Muhyiddin bagaimanapun memberikan jaminan kerajaan akan memberikan pampasan kepada pemilik premis yang diambil alih menggunakan undang-undang darurat.

Katanya, undang-undang lebih tegas diperlukan untuk memastikan pematuhan lebih meluas terhadap SOP Covid-19 yang akan melibatkan hukuman lebih berat kepada pihak yang melanggarnya termasuk pemilik perniagaan.

Katanya, Putrajaya sedang meminda klausa dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, akta yang digunakan untuk menguruskan krisis kesihatan Covid-19.

“Untuk membolehkan tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas dan cepat diambil antaranya ialah arahan penutupan serta-merta premis perniagaan yang tidak mematuhi peraturan dan SOP yang ditetapkan oleh kerajaan, tindakan perundangan terhadap pemilik perniagaan, pemegang francais, operator francais dan pihak berkepentingan lain dalam rantaian organisasi perniagaan.

“Tindakan perundangan terhadap rantaian pengurusan pekerja asing meliputi majikan, ejen pembekal pekerja, kontraktor utama, sub-kontraktor dan orang perseorangan.

“Tindakan kompaun yang lebih tinggi kepada pesalah berulang atau pesalah yang telah diberi amaran, penjara ke atas pesalah yang melanggar peraturan dan SOP.

“Tindakan tatatertib ke atas penjawat awam yang tidak mematuhi peraturan dan SOP termasuk kepada ketua jabatan berkaitan pelaksanaan dasar bekerja dari rumah,” katanya.

Muhyiddin turut membangkitkan dilema dihadapi dalam memerangi Covid-19, mengatakan kerajaan perlu mencari satu keadah yang berimbang, iaitu memastikan kehidupan ekonomi rakyat terus terjamin dan nyawa rakyat terus dilindungi.

“Kaedah yang terbaik pada masa ini ialah membenarkan sektor-sektor ekonomi perlu atau essential economic sectors untuk terus beroperasi dan pada masa yang sama melaksanakan SOP yang ketat,” katanya.

Katanya data menunjukkan 59% jangkitan Covid-19 berlaku di tempat kerja.

“Saya ingin mengingatkan bahawa kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang melanggar peraturan atau SOP yang sedang berkuatkuasa.

“Saya menyeru pihak industri dan orang ramai supaya mematuhi SOP yang ditetapkan. Kerajaan sudah mendengar pandangan anda untuk tidak menutup ekonomi semasa PKP,” katanya.