Saturday, May 8, 2021

Siapa sekat duit minyak ke Sarawak? Bekas peguam negara diselar kerana salahkan Petronas

Halangan utama kepada janji Putrajaya untuk menyelesaikan pembayaran berkaitan hasil minyak dan gas adalah pemimpin Pakatan Harapan (PH) sendiri.

Other News

Seorang penganalisis politik hari menolak dakwaan bekas peguam negara, Tommy Thomas yang mengatakan Petronas sebagai punca pembayaran berbilion ringgit tidak dapat dilakukan kepada Sarawak.

Sebaliknya, James Chin memberitahu MalaysiaNow, halangan utama kepada janji Putrajaya untuk menyelesaikan pembayaran berkaitan hasil minyak dan gas adalah pemimpin Pakatan Harapan (PH) sendiri.

“Saya tidak bersetuju dengannya halangan utama untuk meningkatkan pembayaran minyak dan gas ke Sarawak disebabkan Petronas. Sebaliknya, orang yang menghalangnya ialah Mahathir dan Lim Guan Eng,” katanya merujuk kepada bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan menteri kewangan yang berkhidmat selama 22 bulan dalam kerajaan sebelum ini.

Chin turut mendakwa Mahathir tidak mempunyai niat untuk menunaikan janji.

Komen ini adalah yang terbaru dalam siri reaksi kepada buku autobiografi Thomas “My Story: Justice in the Wilderness” yang menceritakan tentang peristiwa penting politik negara dikeluarkan.

Buku itu turut mendedahkan tentang cita-cita rahsia selama lima tahun Thomas untuk menjadi peguam negara dan perbincangan peringkat tertinggi semasa krisis politik dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang membawa kepada penukaran kerajaan.

Dalam buku itu Thomas menuduh Petronas menjadi “penghalang utama” kepada janji PH untuk meningkatkan bayaran tunai hasil minyak kepada Sarawak dan Sabah dari 5% ke 20%.

Ini merupakan sebahagian daripada janji PH dalam manifesto pilihan raya 2018.

Thomas mendakwa, beliau mengingatkan Mahathir mengenai janji itu, mengatakan meminda undang-undang bagi tujuan itu sangat mudah dilakukan.

Tahun selepas kemenangan pilihan raya PH, kerajaan Sarawak, di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) – parti-parti yang meninggalkan Barisan Nasional selepas kalah, mengenakan cukai jualan 5% kepada Petronas ke atas produk petroleum mengikut Ordinan Cukai Jualan 1998.

Langkah itu menyebabkan Petronas perlu membayar lebih kurang RM2 bilion, yang dikatakan syarikat petroleum negara itu sebagai tidak berperlembagaan.

Thomas mendakwa beliau menolak permintaan pengarah urusan Petronas pada ketika itu, Wan Zulkiflee Wan Ariffin agar Putrajaya menyokong mereka mencabar langkah itu.

Thomas berkata, Petronas kemudiannya bertemu dengan Mahathir dan Lim.

“Lim Guan Eng dengan gigihnya menelefon saya, dan meminta saya mendapatkan campur tangan kerajaan. Saya kekal dengan pendirian saya. Menteri tidak gembira. Begitu juga dengan Petronas,” tulis Thomas.

Pada Mac 2019, Mahkamah Tinggi Kuching memutuskan kedua-dua negeri itu mempunyai hak untuk mengenakan cukai jualan.

Tetapi hanya selepas kerajaan pusat bertukar di bawah pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin Putrajaya bersetuju membayar cukai jualan RM2 bilion, dan mempercepatkan permintaan berkait minyak lain dari Sarawak.

Jawatankuasa MA63 bukan perkara baru

Thomas dalam bukunya turut memuji pentadbiran PH kerana menubuhkan beberapa jawatankuasa berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), satu dokumen mengenai penyertaan Sawarak dan Sabah ke dalam persekutuan Malaysia yang dibentuk pada tahun itu.

Dakwanya tiga jawatankuasa dibentuk oleh PH bagi meneliti pelaksanaan MA63, yang antara lain akan memberikan autonomi kepada Sarawak dan Sabah dalam beberapa sektor penting, merupakan pertama kali masalah yang dihadapi kedua-dua negeri itu dibincangkan.

“Ia adalah satu kejayaan besar buat kerajaan PH untuk memulakan usaha serius dalam memulihkan kembali hubungan yang semakin buruk sejak sekian lama,” kata Thomas, yang merupakan pengerusi bersama jawatankuasa khas MA63, tulisnya di dalam buku itu.

Namun, Chin mengatakan idea penubuhan jawatankuasa seperti itu bukanlah perkara baru.

Katanya bekas perdana menteri Najib Razak yang pertama memulakan inisiatif menubuhkan jawatankuasa peringkat persekutuan berkaitan MA63.

“Dan beliau (Najib) juga merupakan individu yang mengisytiharkan cuti Hari Malaysia pada 16 September bagi mengiktiraf Sabah dan Sarawak dalam pembentukan Malaysia,” katanya.

Chin mengatakan walaupun banyak mesyuarat dilakukan, PH gagal menyelesaikan isu paling utama melibatkan bidang kuasa wilayah serta autonomi minyak dan gas.

Katanya masalah memberi kebenaran kepada Sarawak mengawal pengeluaran minyak dan gas akan menyebabkan berlakunya permintaan serupa daripada negeri-negeri pengeluar minyak lain seperti Sabah, Kelantan dan Terengganu.

Katanya Petronas perlu menyertakan kerajaan negeri apabila melakukan perjanjian usaha sama dengan syarikat minyak asing.

“Ini boleh menyebabkan kerajaan persekutuan kehilangan sebahagian besar perbelanjaan pembangunan daripada Petronas,” tambahnya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles