Sunday, October 24, 2021

Peniagaan restoran ketika PKP tak ubah seperti menunggu bulan jatuh ke riba

Walaupun kedai-kedai makan dibenarkan beroperasi untuk perkhidmatan penghantaran dan bungkus, jumlah pelanggan turun mendadak menyebabkan restoran kosong sepanjang hari.

Other News

Tidak seperti ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama diperkenalkan pada Mac lalu yang memaksa kerajaan menutup sejumlah besar sektor ekonomi ketika negara dilanda jangkitan Covid-19, kini pusat beli-belah dibenarkan beroperasi dalam keadaan dikejar bayang-bayang lama.

Walaupun sebahagian besar sektor peruncitan masih ditutup ketika negara melalui fasa kedua PKP, restoran dan kedai-kedai makan dibenarkan menerima pelanggan bersyarat hanya untuk penghantaran dan bungkus.

Tinjauan yang dilakukan di pusat beli-belah menunjukkan para pekerja restoran masih bekerja seperti biasa. Makanan dimasak, meja dibersihkan dan pekerja bersedia menyambut kedatangan pelanggan yang lalu-lalang.

Cumanya, tiada pelanggan.

Dengan kes harian berlegar-legar sekitar 4,000 jangkitan sehari, PKP 2.0, yang dikuatkuasakan pada 13 Januari dan sepatutnya tamat hari ini dilanjutkan dua minggu lagi sehingga 18 Februari.

Berkunjung ke pusat beli-belah pada waktu ini, merupakan satu pengalaman unik kerana suasana yang biasa dilihat, kini berubah sama sekali disebabkan pelaksanaan prosedur operasi standards (SOP) kesihatan.

Keadaan tempat letak kenderaan di salah sebuah pusat beli-belah yang kosong.

Mencari tempat meletakkan kenderaan di kawasan letak kereta tidak sesukar sebelum ini, dengan kebanyakan pusat beli-belah sunyi walaupun pada waktu puncak.

Kebanyakan perniagaan termasuk jenama-jenama besar menutup operasi mereka sehingga PKP ditamatkan, tetapi untuk restoran dan kedai-kedai makan, perniagaan berjalan seperti biasa – atau biasa dengan norma baru.

Di depan sebuah kedai makan di dalam sebuah pusat beli-belah, seorang pekerja dilihat menunggu dengan penuh sabar menanti kunjungan pelanggan.

“Keadaan sama seperti ketika PKP Bersyarat dilaksanakan tahun lepas,” kata seorang pekerja di sebuah restoran di pusat beli-belah One Utama kepada MalaysiaNow.

“Sehari mungkin ada dalam 20 pelanggan. Kami duduk berjam-jam menunggu, sebab itu saja boleh dilakukan.”

Dengan jumlah pelanggan sedikit, interaksi bersama pelanggan berubah dan dalam kes-kes tertentu ia sudah tidak relevan.

“Kebiasaannya, kami ada beberapa prosedur perlu dipatuhi ketika melayani pelanggan. Sekarang hanya ada dua langkah perlu diikuti kerana kebanyakan pelanggan membuat pesanan secara dalam talian,” kata pekerja itu.

Waktu puncak makan tengah hari kini sekadar kenangan, dan pada masa ini kelihatan ramai pekerja sekadar berdiri kerana ketiadaan pelanggan.

“Sepanjang hari sama sahaja. Kosong seperti sekarang ini,” tambah pekerja itu.

Apabila diajukan soalan kepada restoran masih beroperasi, dia menjawab pemilik tidak sanggup menutupnya.

Manie, yang bekerja di sebuah kedai makanan berhampiran mengatakan penurunan jumlah pelanggan menyebabkan waktu kerja lebih pendek dari biasa.

“Pada hari-hari biasa ketika itu terdapat lebih kurang 100 pelanggan sehari, kami tutup pukul 10 malam, tetapi sekarang pukul 8 sudah mengemas,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Malah bos saya sendiri menangis sebab stres kerana tiada jualan.”

Katanya, menutup kedai bukan satu pilihan untuk kedai makan, dan menambah masa yang betul penting untuk membuat keputusan sedemikian.

Di pusat-pusat beli-belah lain, keadaan berbeza: ada beberapa kedai makan dibuka, tetapi tiada pekerja nak melayani pelanggan.

Di salah sebuah kedai ini, seorang pelanggan terpaksa menunggu lama dan akhirnya kecewa kerana tidak dilayan serta terpaksa pulang hampa – berbeza dengan penyedia makanan lain pekerja menunggu dan berharap untuk meneruskan perniagaan walaupun kecil pulangannya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles