- Iklan -
Berita

Malaysia jatuh 6 anak tangga dalam indeks persepsi rasuah

Skor Malaysia juga menurun dua mata kepada 51 daripada 100 mata berbanding tahun sebelumnya.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya. Gambar: Facebook
Ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya. Gambar: Facebook

Malaysia jatuh enam anak tangga ke kedudukan ke-57 daripada 180 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) bagi 2020.

Presiden Transparency International Malaysia (TI-M) Dr Muhammad Mohan berkata, skor Malaysia juga menurun dua mata kepada 51 daripada 100 mata berbanding tahun sebelumnya, dalam tinjauan CPI itu.

“Kita mungkin jatuh dua mata yang secara statistiknya tidak signifikan, tetapi kita harus bimbang dengan penurunan skor dan kedudukan. Kita perlu pertingkatkan lagi dan saya yakin kita boleh melakukan yang lebih baik daripada negara seperti Rwanda, Poland dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media secara maya bagi mengumumkan CPI Malaysia untuk 2020. CPI dikeluarkan oleh Transparency International, sebuah gabungan antirasuah global, hari ini.

Skor dan kedudukan CPI adalah berdasarkan 13 tinjauan dan penilaian pakar yang mengukur persepsi tahap rasuah dalam sektor awam negara ini pada skala sifar (dianggap paling rasuah) sehingga 100 (dianggap paling bersih).

Muhammad berkata Denmark dan New Zealand berkongsi tangga pertama dengan 88 mata sebagai “negara bersih” manakala negara yang berada di kedudukan terbawah dengan mencatat skor terendah ialah Syria (14 mata) serta Sudan Selatan dan Somalia masing-masing dengan 12 mata.

“Dalam kalangan negara Asean, Singapura berada di tangga teratas diikuti Brunei (ke-35) dan Malaysia (ke-57). Satu-satunya negara dari Asia yang berada di kedudukan 10 teratas ialah Singapura,” katanya.

Beliau berkata kedudukan Malaysia menurun berikutan pembaharuan institusi terhenti dan terdapat beberapa kes berprofil tinggi yang melepas tanpa membebaskan mereka yang didakwa.

Sebab lain termasuk akses terhad kepada maklumat mengenai perkara kepentingan awam, skandal daging tidak halal, kes penyalahgunaan kuasa dan rasuah oleh penjawat awam yang berterusan, perkembangan atau kemas kini kes berprofil tinggi yang terhad dan kerajaan masih belum membentangkan Rang Undang-Undang Perolehan Awam.

Bagaimanapun katanya, komitmen kerajaan pada masa ini untuk meneruskan agenda memerangi rasuah termasuk mewartakan tarikh 1 Jun 2020 untuk Liabiliti Korporat dan meneruskan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) oleh kerajaan terdahulu, wajar dipuji.

Beliau berkata kedudukan Malaysia menurun berikutan pembaharuan institusi terhenti dan terdapat beberapa kes berprofil tinggi yang melepas tanpa membebaskan mereka yang didakwa.

“NACP merupakan pelan komprehensif tetapi kerajaan harus memastikan pelaksanaannya berkesan dan ketua setiausaha negara perlu diberi kuasa untuk memimpin pelaksanaan pelan itu dan boleh dipertanggungjawabkan,” katanya.

Sehubungan itu, Muhammad mencadangkan agar kerajaan Perikatan Nasional mempercepatkan pembaharuan institusi seperti menjadikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) lebih bebas, mendesak pembentangan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dan bukannya Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC), penggubalan undang-undang pembiayaan dana politik untuk menghentikan politik wang dan mengembalikan demokrasi berparlimen secepat mungkin.

Beliau juga mengesyorkan perlu ada ketelusan yang lebih besar dan perkara kepentingan awam perlu didedahkan dengan mengkhususkan kepada skop Akta Rahsia Rasmi.

“Hanya dengan momentum dan komitmen daripada kepimpinan seperti itu, trajektori indeks persepsi rasuah dapat diterbalikkan,” kata Muhammad.