Sunday, May 9, 2021

Bos Mydin tidak percaya kepada membeli-belah dalam talian

Ameer Ali Mydin mengatakan hanya ‘dua pembekal multinasional’ raih untung daripada platform e-dagang.

Other News

Pemilik kepada salah satu rangkaian peruncitan terkenal di negara ini tidak percaya platform e-dagang merupakan jawapan kepada cara perniagaan patut dilakukan ketika Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan kerana pandemik Covid-19, dengan mengatakan ia tidak menawarkan pilihan alternatif kepada aktiviti ekonomi seperti kedai bata dan mortar.

Ameer Ali Mydin, pemilik rangkaian pasar raya besar Mydin, mengatakan bukan saja e-dagang hanya bahagian kecil daripada aktiviti ekonomi, ia juga tidak memberi apa-apa faedah kepada pemain tempatan.

“Apa yang berlaku dengan e-dagang tidak sama dengan perniagaan bata dan mortar. Apabila anda pergi membeli-belah, anda boleh jalan-jalan, pergi minum minuman dan menaiki teksi. Keseluruhan rantaian bekalan itu bergerak,” kata Ameer, yang juga naib presiden Persatuan Runcit Malaysia, kepada radio perniagaan BFM hari ini.

Katanya e-dagang dalam negara ketika ini hanya menguntungkan “dua syarikat pembekal multinasional asing”.

“Saya tidak mahu menamakan siapa mereka, tetapi mereka satu-satunya pihak yang membuat keuntungan daripada semua orang. Mereka mengenakan caj 30% untuk penghantaran minuman dan makanan. Betul-betul buat duit!

“Apa kita buat? Sokong dan terus sokong. Kita menyokong orang yang salah, Perniagaan tempatan semakin nazak,” tambahnya.

Ameer menggambarkan terlalu banyak terdapat banyak gembar-gembur mengenai e-dagang yang menurunkan kos kepada pelanggan akhir.

“Pengguna mungkin tidak sedar, tetapi mereka yang bayar semuanya. Mereka beranggapan jika dapat diskaun itu dan diskaun ini, ia lebih murah tetapi sebenarnya tidak,” katanya, dan menambah promosi dalam talian mengelirukan.

“Perniagaan bata dan mortar tetap murah. Dalam jangka panjang, ia lebih baik untuk ekonomi.”

Sementara itu, Ameer yang mengetuai Pertubuhan Peruncit Bumiputera, dengan tegas menolak tanggapan bahawa peniaga Bumiputera mampu bertahan dalam situasi perniagaan sekarang.

“Hampir mati merupakan perkataan yang salah. Saya rasa mereka semua sudah mati,” katanya.

Dia turut mencemuh kisah individu yang hilang kerja ketika pandemik dan membuka perniagaan baru.

“Ingat tak kisah seorang juruterbang jual burger, dia merampas perniagaan itu daripada penjual burger lain.”

Dalam pada itu, Ameer turut meminta penjelasan lanjut daripada kerajaan mengenai perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan peniagaan ketika PKP.

Katanya cara lebih baik adalah dengan kerajaan menyenaraikan perniagaan yang dilarang beroperasi, dan bukan sebaliknya.

“Kerajaan harus keluarkan senarai negatif.

“Tak mungkin kerajaan boleh keluarkan dan mengatakan apa yang boleh dibuka. Terlalu banyak jenis perniagaan yang ada.

“Beritahu sahaja apa yang tidak boleh (buka). Itu lebih mudah. Dan benarkan yang lain buka, tetapi dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat,” kata Ameer.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles