- Iklan -
Berita

Merahsiakan kes Covid-19 hanya memburukkan lagi perniagaan

Menyembunyikan kes bukan langkah baik untuk imej syarikat, kata pakar.

Siva Selan
2 minit bacaan
Kongsi
Jika berlaku kes Covid-19 di tempat kerja, kontak pesakit perlu dikenal pasti, dikuarantin dan disaring, kata MEF.
Jika berlaku kes Covid-19 di tempat kerja, kontak pesakit perlu dikenal pasti, dikuarantin dan disaring, kata MEF.

Pada November tahun lepas, beribu-ribu pekerja kilang mencetuskan kluster baru Covid-19, sehingga memaksa pihak berkuasa memberikan sepenuh perhatian terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di sektor pembuatan.

Kira-kira 3,000 daripada 4,000 kes Covid-19 yang dilaporkan dalam Kluster Teratai terdiri daripada pekerja kilang.

Kes Covid-19 yang berlaku di situ menjadi tumpuan ramai selepas seorang individu menyiarkan gambar keadaan tempat kerja di dalam sebuah kilang yang sesak dan langsung tiada penjarakan fizikal.

Bebarapa pakar mengatakan dalam usaha memerangi pandemik Covid-19, ia menunjukkan betapa perlunya lebih banyak ketelusan dan akauntabiliti daripada majikan.

Aktivitis hak pekerja warga asing, Andy Hall berkata, salah satu masalahnya adalah apabila lokasi tempat berlaku kes baru Covid-19 tidak didedahkan oleh pihak berkuasa.

Katanya banyak contoh, indentiti sebenar kluster tidak didedahkan kepada umum kecuali ia sampai kepada pengetahuan pihak media.

Hall merasakan kerahsiaan merupakan faktor yang menyumbang kepada lonjakan kes baru-baru ini kerana orang ramai tidak tahu dari mana kes itu berlaku.

“Semuanya berkait rapat dengan isu ketelusan dan akauntabiliti korporat. Jika kita sendiri tidak telus dan kita juga tidak boleh mengharapkan akauntabiliti daripada syarikat,” tambahnya.

Mungkin ada beberapa syarikat berpendapat ia adalah satu idea yang baik untuk tidak mendedahkan apa-apa maklumat mengenai kes atau masalah yang dihadapi pekerja kerana ia akan melindungi imej korporat mereka, akan tetapi akibatnya boleh mendatangkan kemudaratan kepada masyarakat.

“Ada keperluan untuk orang ramai mengetahui dari manakah perkara ini berlaku. Jika bukan kerana maklumat orang dalam, kita tak mungkin dapat mendedahkan perkara seperti ini,” kata Hall kepada MalaysiaNow.

Hall merasakan kerahsiaan merupakan faktor yang menyumbang kepada lonjakan kes baru-baru ini kerana orang ramai tidak tahu dari mana kes itu berlaku.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial Azrul Mohd Khalib mengatakan adalah jauh lebih baik untuk menjadi telus dan memberi tahu mengenai kes positif Covid-19 di premis mereka daripada cuba menyembunyikannya.

“Mengamalkan sikap terbuka boleh melindungi kakitangan dan pelanggan. Ia juga akan memberi mesej yang positif mengenai peranan sektor swasta dalam situasi pandemik ini,” katanya.

“Lebih baik buat mereka memaklumkan secara terbuka daripada diketahui umum melalui aplikasi MySejahtera atau menerusi usaha pengesanan kontak rapat.”

Kebanyakan syarikat bimbang mengenai kes Covid-19 yang boleh menjejaskan reputasi mereka.

Bagaimanapun, Azrul berpandangan lebih baik jika syarikat itu diingati sebagai perniagaan yang bertindak penuh tanggungjawab dan bukan berusaha menyembunyikan maklumat yang penting sehingga menjejaskan keselamatan awam.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) Shamsuddin Bardan bersetuju adalah penting bagi sesuatu perniagaan untuk menjaga ketelusan mengenai kes Covid-19 yang berlaku di premis mereka.

“Apabila seorang pekerja itu dijangkiti Covid-19, adalah penting untuk menghentikan operasi syarikat buat sementara waktu bagi membolehkan proses nyahkuman dijalankan dengan betul, dan kontak pesakit perlu dikenal pasti, dikuarantin dan disaring.”