- Iklan -
Berita

Selepas Agong isytihar darurat, Nazri Aziz umum tarik sokongan kepada kerajaan

Nazri berkata ia satu keputusan yang sudah lama difikirkan dan keputusan terbaik.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz.
Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz.

Beberapa jam selepas Agong mengisytiharkan darurat, Ahli Parlimen Padang Rengas, Nazri Aziz daripada Umno memutuskan untuk menarik semula sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Atas mandat yang diberikan bahagian saya dan Majlis Tertinggi Umno, maka saya pada hari ini hendak mengumumkan saya Mohd Nazri Aziz Ketua Umno Padang Rengas merangkap ahli Parlimen BN dengan rasminya menarik sokongan yang diberikan kepada Muhyiddin Yassin.

“Ia satu keputusan yang sudah lama difikirkan dan keputusan terbaik untuk parti saya.

“Kita tidak boleh menentukan bila PRU tetapi dengan menarik sokongan makanya kerajaan sudah tidak ada sokongan apabila hanya mempunyai 109 sahaja,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Katanya perdana menteri juga dilihat agak panik mungkin sudah tahu perancangan beberapa ahli Parlimen Umno untuk menarik sokongan bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan.

“Ia memang darurat politik sebab jika kesihatan kita oleh guna pakai PKP.

“Tapi saya nak beritahu saya tidak minta PRU serta-merta. Orang yang tak suka akan sengaja cetuskan provokasi. Cuma saya nak bagi tahu kerajaan ini sudah runtuh,” katanya.

Nazri berkata, meskipun vaksin akan tiba akhir bulan depan tetapi ia terpulang kepada Agong untuk memutuskan membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU15 diadakan.

“Saya tidak boleh mengagak bila-bila pun boleh. Saya boleh tunggu sehingga enam bulan. Tiada masalah.

“Apa yang penting adalah beri peluang kepada rakyat untuk mengundi dan jika BN memang kita akan bodek rakyat lebih bagus daripada apa yang dilakukan oleh Bersatu.”

Katanya keputusan yang dibawa oleh semua Umno bahagian sudah diterima oleh Majlis Tertinggi (MT) tetapi secara formal ia akan dibawa ke Perhimpunan Agung Umno (PAU) 31 Januari ini.

“Keputusan menolak Bersatu dalam PRU15 sudah menjadi pendirian parti kerana MT sudah menerima usul ini, ia dibawa ke PAU sekadar untuk formaliti.”