- Iklan -
Berita

Saya tidak keseorangan, kata Annuar Musa

Terdapat rakan-rakan lain dalam Umno turut miliki sentimen sama dengan senario politik semasa.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas setiausaha agung Barisan Nasional (BN) Annuar Musa.
Bekas setiausaha agung Barisan Nasional (BN) Annuar Musa.

Bekas setiausaha agung Barisan Nasional (BN) Annuar Musa mengatakan dirinya tidak keseorangan dalam menyatakan padangan terhadap keadaan politik semasa termasuk perkara melibatkan pendirian parti yang menolak kerjasama dengan DAP.

Katanya ada ramai dalam kalangan pemimpin-pemimpin Umno tidak mahu bercakap terus terang, tetapi berkongsi sentimen sama atas apa yang sedang berlaku sekarang ini.

“Dalam ramai-ramai yang tidak mahu bercakap secara berterus terang, mungkin saya antara yang suka memilih untuk berterus terang, dilihat semacam saya keseorangan, tetapi hari ini dan semalam saya banyak dihubungi kawan-kawan dalam Kabinet dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang berkongsi sentimen sama atas apa yang sedang berlaku.

“Saya harap dan berdoa mereka mainkan peranan masing-masing kerana MKT juga badan tertinggi dalam membuat keputusan selain Perhimpunan Agung Umno,” katanya dalam satu sidang media khas di Putrajaya hari ini.

Annuar pada masa sama mengatakan memahami wujud soal sensitiviti dalam kalangan ahli Umno mengenai hubungannya dengan Bersatu, sebuah parti yang ditubuhkan bersama pada 2016 oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Katanya perbezaan pendapat antara dirinya dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengenai masa depan Umno disebabkan pendirian beliau terhadap kepentingan peribadi tidak boleh diutamakan dalam parti.

“Isu peribadi tidak seharusnya menjadi agenda utama. Utamakan parti dan rakyat, bukan masalah individu yang sepeatutnya ditangani secara peribadi”.

Annuar berkata, piagam Muafakat Nasional antara PAS dan Umno tidak eksklusif untuk kedua-dua parti itu sahaja, tetapi ia dibentuk dengan niat untuk bekerjasama dengan pihak lain demi perpaduan Melayu-Islam.

Zahid bersama bekas presiden Najib Razak dan pemimpin-pemimpin yang dikaitkan dengan mereka mendesak PAS untuk keluar daripada Perikatan Nasional, sehingga kini ditolak parti Islam itu.

Annuar mengatakan ada individu dalam Umno mengadakan pertemuan dengan pemimpin DAP bagi membincangkan rancangan menggagalkan Belanjawan 2021 bulan lepas.

Katanya beberapa individu ini terdiri daripada mereka dalam MKT dan juga pemimpin tertinggi.

Annuar bagaimanapun berkata, beliau memberikan kepercayaan penuh kepada MKT untuk memutuskan sama ada Umno perlu meninggalkan PN atau tidak.