- Iklan -
Berita

Pertemuan pertama majlis presiden PN akan dengar taklimat ekonomi, Covid-19, kata PM

Muhyiddin berkata, majlis presiden itu akan bertemu dengan lebih kerap selepas ini.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin (duduk) berbincang dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan undang-undang) yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu, Takiyuddin Hassan di Dewan Rakyat baru-baru ini. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin (duduk) berbincang dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan undang-undang) yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu, Takiyuddin Hassan di Dewan Rakyat baru-baru ini. Gambar: Bernama

Majlis Presiden Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang penubuhannya dipersetujui semalam akan mengadakan pertemuan pertama pada awal tahun hadapan untuk mendengar taklimat mengenai kedudukan ekonomi semasa negara, pengurusan Covid-19 dan penyediaan Rancangan Malaysia Ke-12.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang juga pengerusi PN berkata, majlis presiden itu akan bertemu dengan lebih kerap selepas ini.

“Saya merakamkan penghargaan kepada semua pimpinan parti yang sebulat suara mempersetujui pembentukan majlis presiden kerajaan PN dan bertekad untuk mengorak langkah bersama demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara

Di samping itu, kami juga mempersetujui beberapa langkah ke hadapan termasuk penubuhan sekretariat setiausaha agung parti-parti dalam kerajaan PN, penggubalan piagam antara parti yang akan dibincangkan di peringkat parti masing-masing dan persiapan pilihan raya,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook rasmi beliau malam ini.

Perdana menteri berkata beliau berasa amat gembira dapat bersua muka dengan ketua dan pemimpin parti dalam kerajaan PN sewaktu perjumpaan yang berlangsung malam ini, dalam memastikan kestabilan politik negara serta menjamin kesejahteraan rakyat dan negara.

Terdahulu Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin berkata mesyuarat antara ketua-ketua parti dalam kerajaan PN semalam bersetuju sebulat suara untuk menubuhkan majlis presiden kerajaan PN bagi membincangkan dasar-dasar kerajaan dan mengukuhkan kerjasama antara parti-parti dalam kerajaan.

Mesyuarat itu dipengerusikan Muhyiddin yang juga presiden Bersatu.