- Iklan -
Berita

ERC yakin kerajaan terima semua 49 syor reformasi pilihan raya

32 daripada 49 saranan perlu dilaksanakan dalam masa 3 tahun.

Fazreen Kamal
3 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem Undang-Undang Pilihanraya, Ab Rashid Ab Rahman
Pengerusi Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem Undang-Undang Pilihanraya, Ab Rashid Ab Rahman

Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC) yakin kerajaan akan menerima 49 syor untuk reformasi pilihan raya yang dikemukakan mereka, kata pengerusinya, Ab Rashid Ab Rahman.

Beliau bagaimanapun berkata, pelaksanaannya akan mengikut keutamaan dan kesesuaian untuk segera dilaksanakan dalam masa terdekat.

“Jadi sekarang ini saya rasa kerajaan pun dah nampak stabil dan saya diberitahu kerajaan dah pun lantik Azmin sebagai pengerusi jawatankuasa Kabinet mengenai pilihan raya untuk kaji secara mendalam dan dia ada badan untuk proses.

“Saya diberitahu mereka mengkaji secara mendalam apa yang boleh dilaksanakan segera.

“Maknanya secara tidak langsung kerajaan sudah terima untuk diguna pakai.

“Tapi saya tidak boleh cerita lebih daripada itu sebab kami akan berhubung dengan jawatankuasa Kabinet untuk tujuan ini,” katanya kepada pemberita hari ini.

Tambahnya, daripada 49 saranan yang dikemukakan, 32 perlu dilaksanakan dalam masa tiga tahun oleh jawatankuasa khas yang dipengerusikan Menteri Kanan Mohamed Azmin Ali.

“Saya diberitahu mereka mengkaji secara mendalam apa yang boleh dilaksanakan segera.

Sebelum ini di Dewan Rakyat, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen) Takiyuddin Hassan berkata, jawatankuasa itu ditubuhkan bagi membolehkan kerajaan menilai, menyelaras dan memantau semua cadangan dan dapatan yang disyorkan ERC membabitkan urusan pilihan raya di negara ini.

Menurut Takiyuddin, sebaik sahaja kajian selesai, satu laporan berhubung dengan hasil dapatan kajian berserta syor-syor penambahbaikan akan disediakan.

Rashid berkata, antara penambahbaikan yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang tidak wujud dalam peraturan sekarang termasuklah peraturan yang perlu dipatuhi oleh kerajaan sementara.

“Kerajaan sementara yang mengambil alih untuk 60 hari perlu ada peraturan khas sebab dia bukan lagi kerajaan biasa. Dia sudah tiada kuasa dia tak boleh ikut undang-undang kerajaan biasa tapi lebih baik kalau kita wujudkan peraturan di mana yang sesuai.

“Kena ada perkara yang dia boleh buat dan tidak boleh buat. Tapi sekarang ini tidak ada secara bertulis atau secara konvensyen di negara maju semua sudah ada kita sahaja tidak ada.

“Jadi sejak 14 pilihan raya yang diadakan kerajaan sebab ada masa-masa yang kita perhatikan kerajaan sementara perlu undang-undang dia sendiri dan tidak boleh guna pakai peraturan kerajaan yang dipilih oleh kerajaan,” katanya.

Tambahnya, satu lagi yang perlu diberi penekanan ialah kawalan media ketika pilihan raya perlu diadakan mengikut undang-undang yang ditetapkan oleh SPR.

“Sekarang langsung tiada kawalan, media dikawal oleh undang-undang yang berkaitan dengan media. Dalam musim pilihan raya ini mesti ada undang-undang yang boleh dikawal oleh SPR.

“Sebab dia nak tentukan pilihan raya itu adil, kuasa patut diberikan kepada SPR di musim itu sahaja dan dia kena ada ‘dos and don’ts’ yang berbentuk undang-undang.

“Dia tidak boleh buat ini itu, tapi harus ingat kawalan itu bukan hendak menyekat kebebasan media kerana ia hak semua. Cuma cara media melaksanakan tanggungjawab kita nak dia pun adil juga.”

Mengulas mengenai kesesuaian untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 dalam masa terdekat, katanya ia adalah hak rakyat.

“Saya tengok kerajaan sekarang ini berjalan dengan baik dan diurus tadbir dengan baik dan penuh bertanggungjawab. Tapi soal pokoknya kerana banyak pihak menyatakan bahawa dan mungkin tepat atau benar dalam demokrasi ini penubuhan kerajaan adalah oleh rakyat.

“Jadi rakyat hendak diadakan pilihan raya kerana rakyat akan menentukan hak kerajaan yang sah. Kerajaan sekarang sah tapi kerana ada peraturan yang membolehkan Agong dalam keadaan tertentu-tentu sah tapi dari sudut demokrasi dari sudut pilihan raya banyak pihak yang telah membuat tuntutan.

“Jadi pada pandangan saya walaupun kerajaan ini kerajaan yang sah dari segi Perlembagaan ia hendaklah dikembalikan semula kepada rakyat. Itu memang kerangka dia. Ini kerana pilihan raya adalah satu proses yang baik. Baik atau tidak kerajaan itu cerita lain.”