- Iklan -
Berita

Vaksin Covid-19 mampu pulihkan ekonomi, menurut kaji selidik

Lebih separuh responden optimis terhadap pemulihan ekonomi dengan wujudnya vaksin Covid-19.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Sebanyak 9.6 juta penduduk negara ini atau 30% bakal mendapat akses kepada vaksin Covid-19 yang dijangka diterima pada suku pertama tahun hadapan. Gambar: AP
Sebanyak 9.6 juta penduduk negara ini atau 30% bakal mendapat akses kepada vaksin Covid-19 yang dijangka diterima pada suku pertama tahun hadapan. Gambar: AP

Satu kaji selidik yang dijalankan oleh Pusat Penyelidikan Undian UCSI mendapati lebih separuh daripada responden percaya ekonomi akan kembali pulih selepas vaksin Covid-19 tersedia.

Kira-kira 54% daripada 1,007 responden yang mengambil bahagian dalam kaji selidik itu menaruh keyakinan terhadap pemulihan ekonomi negara.

“Sebanyak 25.9% sangat yakin, manakala 28% lagi yakin mengenai perkara itu.

“22.5% responden mengambil sikap neutral, 15.4% tidak yakin dan 8.2% lagi sangat tidak yakin bahawa ekonomi mampu pulih seperti sediakala,” kata satu kenyataan yang dkeluarkan pusat penyelidikan itu.

Tambahnya, ia menunjukkan masyarakat umum optimis terhadap pemulihan ekonomi dengan wujudnya vaksin dan ini mungkin akan merangsang kembali ekonomi Malaysia.

Soal selidik itu dilakukan selepas kerajaan menandatangani dua perjanjian untuk mendapatkan bekalan vaksin untuk 9.6 juta penduduk negara ini.

Kerajaan melalui perjanjian dengan syarikat gergasi farmasuetikal Pfizer akan memperoleh bekalan vaksin untuk 20% penduduk atau 6.4 juta orang, manakala di bawah kerjasama Covax bakal membolehkan akses 3.2 juta rakyat (10%).

Kaji selidik itu juga mendapati hampir separuh sanggup menjadi sebahagian daripada kumpulan perintis untuk disuntik vaksin Covid-19.

Kira-kira 47% responden pula menyatakan keyakinan terhadap vaksin yang bakal tersedia di Malaysia.