- Iklan -
Berita

Faizal Azumu letak jawatan MB Perak

Peletakan jawatan itu dilakukan selepas beliau gagal memperoleh sokongan usul undi percaya semalam.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chenderiang Ahmad Faizal Azumu. Gambar: Bernama
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chenderiang Ahmad Faizal Azumu. Gambar: Bernama

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chenderiang Ahmad Faizal Azumu hari ini meletak jawatan sebagai menteri besar Perak bersama-sama seluruh barisan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Faizal, yang gagal memperoleh sokongan dalam usul keyakinan ahli Dewan terhadap menteri besar dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam, berkata beliau menyembahkan surat peletakan jawatan itu kepada Sultan Perak Sultan Nazrin Shah semasa sembah mengadap di Istana Kinta, pukul 3 petang.

“Saya menjunjung kasih di atas perkenan Sultan dan di kesempatan berkenaan saya menyembahkan warkah peletakan jawatan saya sebagai menteri besar dan seluruh ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

“Saya menyembahkan rasa penghormatan untuk berkhidmat di bawah naungan kerajaan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan,” kata beliau dalam sidang media di kediaman lama menteri besar Perak, hari ini.

Faizal gagal mendapat sokongan dalam usul undi percaya majoriti ahli Dewan, hanya memperoleh 10 undi berbanding 48 menentang, manakala satu berkecuali.

Usul itu dibawa oleh Abd Manap Hashim Adun Pengkalan Baru daripada Umno.