Saturday, October 16, 2021

Bantuan bulanan RM1,000 JKM akan disegerakan, kata PM

Pada ketika ini elaun JKM RM200 hingga RM300.

Other News

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memberi jaminan cadangan menaikkan kadar bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada RM1,000 sebulan berbanding RM200 hingga RM300 sekarang, dilaksanakan segera.

Beliau berkata sebagai kerajaan yang prihatin, beliau akan memastikan golongan itu mempunyai hak dan peluang sama rata untuk menjalani kehidupan seperti anggota masyarakat yang lain.

“Mengambil kira keadaan ekonomi serta kos sara hidup semasa, saya mengusulkan agar bantuan bulanan JKM yang pada masa ini berjumlah antara RM200 dan RM300 kepada mereka yang layak dinaikkan ke RM1,000.

“Pastinya golongan Orang Kurang Upaya (OKU) juga termasuk dalam kumpulan masyarakat yang akan mendapat faedah daripada kenaikan itu. Saya akan pastikan cadangan ini dapat dilaksanakan segera. Insya-Allah,” katanya dalam hantaran di laman Facebooknya bersempena Hari OKU Sedunia hari ini.

Pada Ogos lepas, Muhyiddin dilapor mengusulkan kenaikan bantuan bulanan tersebut dan usaha membantu golongan itu termasuk B40 merupakan aspirasi kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinannya.

Muhyiddin berkata golongan OKU adalah sebahagian daripada masyarakat yang sentiasa dekat dan diberi perhatian olehnya dan juga kerajaan.

“Saya sendiri beberapa kali turun menemui golongan ini sebagaimana ketika kunjungan saya ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang di Setapak serta PPR Taman Sri Keramat, Putatan, Sabah sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata kerajaan melalui Kementarian Kewangan juga mengumumkan beberapa inisiatif yang boleh membantu golongan tersebut ketika membentangkan Belanjawan 2021 baru-baru ini, antaranya menaikkan bantuan bulanan OKU tidak berupaya bekerja daripada RM250 kepada RM300, kadar elaun pekerja OKU RM400 kepada RM450 serta bantuan penjagaan OKU daripada RM350 kepada RM500.

Muhyiddin berkata mengikut rekod JKM, bilangan OKU berdaftar di Malaysia setakat ini ialah 581,265 orang dan beliau berharap kempen mendaftarkan golongan tersebut dipergiatkan lagi bagi memastikan tiada yang tercicir dan tidak diberikan perhatian.

“Perkara ini sangat penting untuk menjamin golongan ini tidak terlepas daripada menerima bantuan kerajaan, terutamanya ketika situasi sukar penularan pandemik Covid-19.

“Saya doakan semoga golongan OKU diberikan tempat sebaiknya dalam kalangan masyarakat, seterusnya dapat sama-sama berperanan dalam pembangunan negara. Selamat Hari OKU Sedunia 2020,” katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles