- Iklan -
Berita

Bos GLC terlibat politik curi tumpuan kerana langgar peraturan perkhidmatan awam

Saufy Nizar Abdul Rahman dilantik sebagai CEO Perbadanan Kota Buku kurang seminggu selepas Maszlee Malik meletak jawatan sebagai menteri pendidikan.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Saufy Nizar Abdul Rahman (memakai baju-T hitam) bersama Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (dua dari kiri) semasa pertemuan mereka dengan bekas perdana menteri Najib Razak (tengah), dalam gambar yang dimuat naik di Instagram.
Saufy Nizar Abdul Rahman (memakai baju-T hitam) bersama Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (dua dari kiri) semasa pertemuan mereka dengan bekas perdana menteri Najib Razak (tengah), dalam gambar yang dimuat naik di Instagram.

MalaysiaNow difahamkan Kementerian Pendidikan (KPM) sedang menjalankan siasatan terhadap seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) kepada anak syarikat miliknya yang berkecimpung dalam kegiatan politik, yang mungkin melanggar peraturan melarang pegawai kanan kerajaan berbuat demikian.

Siasatan itu dijalankan selepas kementerian itu menerima kritikan bertali arus di media sosial terhadap aktiviti politik melibatkan Saufy Nizar Abdul Rahman, CEO Perbadanan Kota Buku, sebuah syarikat berkaitan kerajaan yang ditugaskan bagi mempromosi industri buku tempatan.

Saufy Nizar menjadi perhatian selepas gambar beliau bersama sekumpulan ahli politik ketika bertemu dengan bekas perdana menteri Najib Razak tersebar.

Orang ramai mengkritik tindakan itu dan mempersoalkan pihak kementeriaan sama ada menyedari atau tidak tentang penglibatan Saufy Nizar dalam parti politik, Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), sebuah parti politik yang diketuai bekas menteri belia dan sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman.

Saufy Nizar yang turut dikenali sebagai Muthalib Uthman sebagai nama pena adalah antara 13 pengasas yang menubuhkan Muda.

Pegawai kanan di KPM memberitahu MalaysiaNow satu siasatan dilancarkan selepas melihat hantaran dalam media sosial.

Saufy Nizar menjadi perhatian selepas gambar beliau bersama sekumpulan ahli politik ketika bertemu dengan bekas perdana menteri Najib Razak tersebar.

“Kami sedang menjalankan siasatan berdasarkan hantaran dalam media sosial terhadap Saufy Nizar,” katanya dan menambah pihak kementerian tidak menghalang kebebasan seseorang untuk berkecimpung dalam politik.

Terdahulu, tular beberapa gambar yang dimuat naik ke Instagram anak bekas perdana menteri itu menunjukkan Saufy Nizar dilihat bersama Syed Saddiq dan beberapa pemimpin Muda bertemu Najib.

Muda ditubuhkan Syed Saddiq selepas dipecat daripada Bersatu yang mana ketika itu beliau merupakan ketua Armada.

Parti itu ditubuhkan bagi memperjuangkan suara orang muda, yang ketika ini masih menunggu kelulusan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Saufy Nizar memiliki syarikat bukunya sendiri, sebelum dilantik sebagai bos Perbadanan Kota Buku pada 7 Januari tahun ini, kurang seminggu selepas Maszlee Malik meletak jawatan sebagai menteri pendidikan.

Difahamkan, Saufy Nizar juga merupakan rakan baik kepada setiausaha akhbar Maszlee, Zul Fikri Zamir yang juga merupakan seorang pernerbit buku sebelum diambil berkhidmat dengan bekas menteri itu.

Sumber daripada kementerian pendidikan mengatakan Saufy Nizar terikat dengan surat perkeliling oleh Jabatan Perkhidmatan Awam yang melarang mana-mana pegawai kumpulan pengurusan tertinggi terlibat secara aktif dalam politik.

Dalam pekeliling yang dikeluarkan pada tahun 2009 itu antara lain melarang pegawai kanan kerajaan daripada membuat pernyataan awam atau memakai mana-mana lambang sesuatu parti politik.

“Tidak menjadi kesalahan untuk mempunyai pandangan politik sendiri selagi ia tidak menggangu kelancaran dalam menjalankan tugas dan dasar yang ditetapkan oleh kementerian,” kata jurucakap itu kepada MalaysiaNow.

“Tetapi ia tidak boleh melanggar pekeliling yang dikeluarkan.”

Usaha MalaysiaNow untuk mendapatkan ulasan Saufy Nizar belum berjaya.