- Iklan -
Berita

Nafas dilantik pemborong tunggal bekalkan benih padi kepada pesawah

Pelantikan Nafas dapat selesaikan masalah manipulasi dan eksploitasi dalam pembekalan benih padi sah.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Pesawah akan mendapatkan benih padi daripada Nafas. Gambar: Bernama
Pesawah akan mendapatkan benih padi daripada Nafas. Gambar: Bernama

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melantik Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) sebagai pemborong tunggal di bawah Program Insentif Benih Padi Sah bagi membuat pembekalan terus kepada pesawah di seluruh negara.

Menterinya, Ronald Kiandee berkata mekanisme ini dilaksanakan yang dilihat dapat menyelesaikan permasalahan manipulasi dan eksploitasi daripada pihak yang tidak bertanggungjawab dalam pembekalan benih padi sah.

“Kerajaan telah memperkenalkan Kaedah Pemutuan Sebenar melalui prosedur operasi standard (SOP) yang telah dibangunkan oleh Kementerian dengan kerjasama Sirim. SOP ini adalah bagi memastikan padi yang dijual adalah padi bersih dan berkualiti serta dapat memastikan Kerajaan tidak membayar Subsidi Harga Padi berdasarkan padi kasar yang mengandungi segala komponen yang tidak diingini.

“Dan sekaligus mengelakkan ketirisan pembayaran subsidi Kerajaan. Semua kilang padi termasuk Bernas dan swasta perlu melaksanakan pemutuan padi berdasarkan SOP ini,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2021 peringkat dasar di Dewan Rakyat, hari ini.

Walaupun terdapat pengurangan bagi peruntukan mengurus, Ronald memberitahu pihaknya akan terus memainkan peranan penting dalam melaksanakan Belanjawan 2021 dengan efektif bagi memastikan sektor agromakanan terus positif di setiap peringkat rantaian makanan.

Beliau memberi jaminan peruntukan yang diluluskan kementeriannya mencukupi bagi tujuan pelaksanaan projek pembangunan sedia ada dan baru.

“Dengan jumlah peruntukan berjumlah RM1.57 bilion, pihaknya juga akan meneruskan bantuan, insentif dan subsidi kepada semua pihak berkepentingan (stakesholders) seperti petani, pesawah, nelayan dan penternak pada tahun hadapan. Subsidi dan Insentif Tanaman Padi berjumlah RM960 juta termasuk Skim Subsidi Baja dan Racun Padi Bukit atau Huma iaitu RM40 juta dan Subsidi Harga Padi, RM570 juta kepada pesawah bagi musim penanaman tahun hadapan di seluruh negara tetap diteruskan.

“Dalam usaha meningkatkan taraf ekonomi pesawah. Keseluruhan subsidi dan insentif bagi sektor padi ini akan memanfaatkan 300,000 pesawah di seluruh negara. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat juga, kadar bantuan Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) telah ditingkatkan kepada RM300 melalui Belanjawan 2021 yang akan memanfaatkan 40,000 nelayan.

“Pada masa yang sama, insentif dan subsidi lain masih terus diberikan kepada masyarakat nelayan seperti Insentif Hasil Tangkapan Ikan, Subsidi Minyak Diesel dan Petrol dan Tabung Bencana Alam dan Kebajikan Nelayan.

“ESHN ini adalah sebahagian daripada Peruntukan Mengurus (OE), bukannya melibatkan dana bagi membina jeti seperti yang dinyatakan oleh Yang Berhormat Port Dickson.”