- Iklan -
Berita

Kerajaan pertimbang tangguh PRK Gerik, Bugaya guna ‘Proklamasi Darurat’

Kerajaan tekad tangguh sebarang pilihan raya bagi membendung Covid-19 daripada meningkat.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Kajian terperinci sedang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Gambar: Bernama
Kajian terperinci sedang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Gambar: Bernama

Kerajaan sedang meneliti dan mempertimbangkan menangguhkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Gerik dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya seperti yang dilaksanakan di Batu Sapi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Bahagian Undang-Undang), Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata, kajian terperinci sedang dilakukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memastikan terdapat keperluan untuk menangguhkan PRK di Parlimen Gerik dan DUN Bugaya.

Katanya, kerajaan tekad untuk menangguhkan sebarang pilihan raya sebagai usaha membendung pandemik Covid-19 daripada meningkat dengan lebih serius.

“Sebab itulah berpandukan kepada perkara 150 (Perlembagaan Persekutuan), jemaah menteri putuskan untuk arahkan perdana menteri menasihati Yang di Pertuan Agong untuk mengisytiharkan sebahagian daripada persekutuan iaitu Parlimen Batu Sapi diisytihar darurat.

“Tindakan yang sama akan dipertimbangkan dan dilaksanakan bagi DUN Bugaya dan (Parlimen) Gerik sekiranya berdasarkan penilaian risiko oleh KKM dan MKN yang berlandaskan sebagaimana di Batu Sapi.

“Antara masalah di Batu Sapi ialah garis panduan SOP ditetapkan oleh MKN kemungkinan besar tidak dapat dipatuhi sepenuhnya,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Sebelum ini Yang di Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mengisytiharkan Proklamasi Darurat di Batu Sapi.

Takiyuddin menjawab soalan Ahmad Maslan (BN- Pontian) yang ingin mengetahui adakah Kerajaan bercadang untuk menasihati Agong bagi mengisytiharkan darurat di DUN Bugaya dan Parlimen Gerik seperti di Parlimen Batu Sapi.

Selain itu, Takiyuddin memaklumkan kerajaan juga perlu melaksanakan penangguhan PRK disebabkan kekangan petugas daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan KKM kerana ramai antara mereka amat takut untuk bertugas disebabkan gelombang Covid-19 yang sedang meningkat.

“Pelantikan petugas pilihan raya sehingga 6 November daripada sepatutnya 837 orang petugas SPR hanya 143 orang sahaja yang sanggup bertugas. Begitu juga KKM memaklumkan kekangan untuk sediakan pegawai dan kakitangan kesihatan bagi mengendalikan pengudi-pengundi di Batu Sapi yang berjumlah lebih daripada 32,000.

“Atas dasar itu, kerajaan berpendapat pengisyitiharan darurat amat tepat dan langkah yang diambil oleh Seri Paduka Baginda amat bertepatan dengan Perlembagaan dan ia bukan sesekali satu tindakan yang bercanggah dengan amalan demokrasi.”