- Iklan -
Berita

Ahli Parlimen Gerik meninggal dunia

Beliau merupakan bekas setiausaha politik kepada Muhyiddin Yassin pada 2012 hingga 2013.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Gerik Hasbullah Osman meninggal dunia. Gambar: Facebook
Ahli Parlimen Gerik Hasbullah Osman meninggal dunia. Gambar: Facebook

Ahli Parlimen Gerik Hasbullah Osman daripada Umno meninggal dunia akibat daripada serangan jantung hari ini pada usia 63 tahun.

Pegawai khas kepada Hasbullah, memberitahu MalaysiaNow ahli Parlimen Gerik itu meninggal dunia di Raub, Pahang.

MalaysiaNow difahamkan, Hasbullah hadir ke sesi Dewan Rakyat hari ini dan bergerak ke Raub selepas tamat sidang.

Hasbullah pernah menjadi setiausaha politik kepada Muhyiddin ketika perdana menteri merupakan timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno.

Muhyiddin dipecat sebagai timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno oleh Najib Razak pada 2015 kerana mempersoalkan tentang skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pada Mei 2020, Hasbullah dilantik sebagai pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad.

Dalam satu kenyataan malam ini Muhyiddin mengucapkan takziah kepada keluarga Hasbullah atas pemergian ahli Parlimen Gerik itu.

“Allahyarham ialah bekas setiausaha politik saya ketika saya menjawat jawatan timbalan perdana menteri. Selaku setiausaha politik, arwah memainkan peranan besar dalam mencorakkan perjalanan politik saya, jasa yang amat saya hargai hingga ke hari ini.

“Banyak kenangan yang kami kongsi bersama. Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar buat saya,” kata Muhyiddin.

Pada Pilihan Raya Umum 2018, Hasbullah mengalahkan calon PAS dan PKR di kerusi Parlimen Gerik dengan majoriti 5,528 undi.