- Iklan -
Berita

Kemasukan pelajar ke universiti awam terjejas disebabkan peperiksaan Muet ditunda

Penutupan sekolah di seluruh negara selepas PKPB dilaksanakan menyukarkan lagi keadaan.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Beberapa pihak menggesa sijil peperiksaan Muet dikecualikan sebagai syarat kemasukan ke universiti awam buat sementara waktu.
Beberapa pihak menggesa sijil peperiksaan Muet dikecualikan sebagai syarat kemasukan ke universiti awam buat sementara waktu.

Sebahagian besar pelajar yang memohon kemasukan ke universiti awam berdepan kesulitan memenuhi syarat kelayakan kerana gagal menduduki peperiksaan Malaysian Universiti English Test (Muet) yang dipinda beberapa kali akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu.

Peningkatan kes jangkitan Covid-19 baru-baru ini menyebabkan sekolah di seluruh negara ditutup lagi selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan menyebabkan sesi peperiksaan Muet yang dikendalikan dalam kawasan sekolah tidak dapat dijalankan.

Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) mengatakan tidak mempunyai pilihan lain kerana nyawa pelbagai pihak yang terlibat menjadi keutamaan seperti calon dan kakitangan yang menguruskan sesi peperiksaan tersebut.

“MPM akan cuba sebaik mungkin untuk laksanakan ujian Muet pada tahun 2020 dan pilihan terakhir ialah (slot) yang terakhir pada bulan Disember sebelum cuti sekolah,” katanya Ketua Eksekutif MPM Mohd Fauzi Mohd Kassim kepada MalaysiaNow.

Fauzi berkata, MPM akan meminta pertimbangan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk menggunakan syarat baru kelayakan ke universiti iaitu mereka yang sudah mendaftar mengambil peperiksaan Muet boleh meneruskan permohonan dan diproses permohonan di universiti pilihan masing-masing.

Katanya, MPM akan memainkan peranan dengan membekalkan senarai penuh calon yang sudah berdaftar Muet kepada KPT dan dengan cara ini proses kemasukan pelajar ke universiti tidak akan terjejas.

“KPT pernah menggunakan syarat mendaftar Muet untuk kemasukan universiti sebelum ini, maka syarat ini tidak mustahil boleh diguna kembali jika Muet sesi 2 tahun 2020 tidak dapat dilaksanakan juga menjelang Disember 2020.

“KPT pernah melaksanakan perkara ini, dan sudah tentu ia tidak menjadi masalah.”

“MPM akan cuba sebaik mungkin untuk laksanakan ujian Muet pada tahun 2020 dan pilihan terakhir ialah (slot) yang terakhir pada bulan Disember sebelum cuti sekolah,” katanya Ketua Eksekutif MPM Mohd Fauzi Mohd Kassim kepada MalaysiaNow.

Sebelum ini, beberapa pihak menggesa Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad mengecualikan sijil peperiksaan Muet sebagai syarat kemasukan ke universiti awam buat sementara waktu.

Seorang bapa kepada seorang pelajar menghantar surat kepada Noraini yang dilihat MalaysiaNow, menyuarakan kegusaran apabila anaknya yang baru tamat pengajian diploma tidak diterima masuk untuk mengikuti pengajian peringkat ijazah sarjana muda kerana gagal menduduki peperiksaan Muet.

Menurut bapa itu, permohonan anaknya untuk kemasukan ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi pengambilan September lepas ditolak dan permohonan bagi pengambilan Mac 2021 mungkin tidak berjaya kerana tarikh tutup permohonan dijadualkan pada 2 Disember tahun ini.

“Dengan penundaan tarikh peperiksaan Muet, beliau sekali lagi tidak akan berjaya memasuki pengambilan akan datang,” tulisnya dalam surat yang dilihat MalaysiaNow.

Sehingga kini, tiada pengumuman rasmi KPT berhubung perkara ini.

Dalam pada itu, pegawai komunikasi korporat sebuah universiti awam terkenal di Selangor mengatakan terdapat perbincangan di peringkat tertinggi untuk mengecualikan syarat tersebut, namun keputusan tidak boleh dibuat tanpa rundingan rapi dengan pihak kementerian.

“Sudah berapa bulan isu melibatkan universiti dan mahasiswa tidak diberikan kata putus oleh KPT. Kami tidak boleh buat keputusan sendiri tanpa perbincangan dengan pihak lain. Isu yuran misalnya, sudah didesak orang ramai baru keluar pengumuman.

“Tidak menjadi masalah sekiranya syarat tersebut diketepikan, kerana pelajar yang diterima wajib memiliki kelulusan bahasa Inggeris sebagai syarat graduasi. Jadi, mereka ada masa tiga hingga empat tahun untuk ambil peperiksaan Muet atau peperiksaan bahasa yang disediakan oleh universiti,” katanya yang enggan dinamakan.

Usaha MalaysiaNow untuk mendapatkan komen KPT berhubung isu ini tidak berjaya.