- Iklan -
Berita

Biden mulakan peralihan ketika Trump enggan mengalah

Trump dilihat masih bermain golf di kawasan berhampiran Washington, di tempat yang sama ketika rangkaian televisyen AS pada Sabtu menyampaikan berita Biden memperoleh cukup undi kolej elektoral.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Joe Biden sudah memulakan proses peralihan kuasa ketika Donald Trump enggan mengalah. Gambar: AFP
Joe Biden sudah memulakan proses peralihan kuasa ketika Donald Trump enggan mengalah. Gambar: AFP

Presiden Amerika Syarikat (AS) yang dipilih, Joe Biden memulakan langkah pertama pada Ahad untuk bergerak ke Rumah Putih, 73 hari dari sekarang, ketika Donald Trump berterusan enggan mengakui kekalahan, sebaliknya berusaha membangkitkan keraguan terhadap keputusan pilihan raya.

Biden dan naib presiden yang dipilih, Kamala Harris yang kini dikelilingi ucapan tahniah atas kemenangan mereka pada pemilihan 3 November lalu melancarkan laman sesawang peralihan, BuildBackBetter.com dan Twitter @Transition46.

Sementara itu, Trump dilihat masih bermain golf di kawasan berhampiran Washington, di tempat yang sama ketika rangkaian televisyen AS pada Sabtu menyampaikan berita bahawa Biden memperoleh cukup undi kolej elektoral (majoriti mudah 50 peratus + 1) untuk menang.

“Sejak bila Lamestream Media mengesahkan siapa presiden kita yang seterusnya?” kritik Trump menerusi Twitternya pada Ahad.

Trump merancang untuk memfailkan tuntutan saman pada minggu akan datang, menurut peguamnya Rudy Giuliani, yang mendakwa beliau memiliki banyak bukti penipuan.

Bagaimanapun bekas presiden, George W Bush mengatakan “keputusan itu jelas” dan menyampaikan ucapan tahniah kepada Biden dan Harris.

“Sejak bila Lamestream Media mengesahkan siapa presiden kita yang seterusnya?” kritik Trump menerusi Twitternya pada Ahad.

Menerusi satu kenyataan, Bush berkata rakyat Amerika yakin pilihan raya kali ini pada dasarnya adalah adil.

“Kita mesti bersatu demi keluarga dan jiran kita, dan untuk negara dan masa depannya,” kata Bush.

Laman sesawang peralihan Biden menyenaraikan empat keutamaan iaitu Covid-19, pemulihan ekonomi, kesaksamaan kaum dan perubahan iklim.

“Pasukan yang dilantik akan berdepan cabaran ini pada hari pertama,” menurut laman sesawang itu yang merujuk 20 Januari 2021 sebagai hari pertama ketika Biden bakal mengangkat sumpah jawatan sebagai presiden AS yang ke-46.

Biden, yang berusia 78 tahun pada 20 November, adalah individu tertua yang pernah dipilih ke Rumah Putih.

Harris, 56, seorang Senator dari California, adalah wanita pertama dan menjadi orang kulit hitam pertama serta orang Asia Selatan pertama yang dipilih sebagai naib presiden AS

Biden merancang untuk menubuhkan pasukan petugas pada Isnin bagi menangani wabak Covid-19 yang kini sudah mengorbankan lebih 237,000 di negara itu, selain berdepan cabaran lonjakan kes jangkitan.

Beliau turut mengumumkan rancangan untuk bergabung kembali dalam perjanjian iklim Paris dan dilaporkan akan mengeluarkan perintah eksekutif pada hari pertamanya di pejabat yang membatalkan larangan perjalanan Trump ke kebanyakan negara-negara Islam.

Biden berikrar untuk membentuk Kabinet yang mencerminkan kepelbagaian negara itu, walaupun beliau mungkin menghadapi masalah untuk mendapatkan persetujuan untuk pelantikan yang lebih progresif jika Republikan terus menguasai Senat.