- Iklan -
Berita

7 lagi saksi akan beri keterangan dalam kes rasuah Zahid Hamidi

Tujuh saksi yang akan memberi keterangan kesemuanya pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi. Gambar: AFP
Bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi. Gambar: AFP

Pihak pendakwaan akan mengemukakan tujuh lagi saksi untuk memberi keterangan dalam perbicaraan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram, yang dihadapi Ahmad Zahid Hamidi sebelum menutup kes pendakwaan.

Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran ketika dihubungi menerusi WhatsApp berkata, tujuh saksi yang akan memberi keterangan kesemuanya pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Saksi ke-89, pegawai penyiasat SPRM Fairul Rafiq Hamiruddin memberi keterangan pada 13 Oktober lalu dan sepatutnya hari ini saksi terbabit disoal balas oleh pihak pembelaan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Farah Azura Mohd Saad ketika dihubungi berkata perbicaraan kes bekas timbalan perdana menteri itu yang sepatutnya bersambung hari ini, ditangguhkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya dilanjutkan dari 27 Oktober sehingga 9 November.

Farah Azura berkata perbicaraan akan bersambung pada 16 hingga 20 November di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

“Pihak mahkamah sudah memaklumakan mengenai penangguhan perbicaraan kes pada hari ini kepada pihak pendakwaan dan pembelaan menerusi e-mail semalam,” katanya.

Seramai 89 saksi pendakwaan telah memberi keterangan antaranya Ketua Pegawai Eksekutif Armada Holdings Sdn Bhd, Wasi Khan @ Wasiyu Zama Israr; bekas pegawai khas Zahid, Wan Ahmad Wan Omar; rakan kongsi firma guaman Tetuan Lewis & Co, B. Muralidharan; pengurup wang Omar Ali Abdullah; dan bekas setiausaha eksekutif kepada Zahid, Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly.

Zahid, 67, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Farah Azura berkata perbicaraan akan bersambung pada 16 hingga 20 November di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Bagi tuduhan pecah amanah, Zahid didakwa menggunakan dana berkenaan untuk membuat enam pembayaran kad kredit milik persendirian, polisi insurans kenderaan dan lesen motor persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bagi lapan tuduhan rasuah pula, Zahid didakwa menerima suapan daripada tiga syarikat, iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya seorang pegawai badan awam, iaitu menteri dalam negeri di Kementerian Dalam Negeri (KDN), bagi membantu syarikat berkenaan mendapatkan projek MyEG.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan membabitkan diri dalam transaksi secara langsung, melibatkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.