- Iklan -
Berita

DAP ‘terkejut’ Amanah pelawa Umno bentuk kerajaan di Johor

Perkara itu tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Harapan Johor.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
DAP 'terkejut' mengenai pelawaan pemimpin Amanah Johor Aminolhuda Hassan untuk membentuk kerajaan negeri baru bersama Umno. Gambar: Facebook
DAP 'terkejut' mengenai pelawaan pemimpin Amanah Johor Aminolhuda Hassan untuk membentuk kerajaan negeri baru bersama Umno. Gambar: Facebook

DAP yang mempunyai kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) terbesar dalam Pakatan Harapan (PH) Johor “terkejut” apabila mendapat tahu Amanah mempelawa Umno untuk membentuk kerajaan di negeri itu.

DAP berkata, sebelum ini PH Johor “mengamalkan pendekatan musyawarah dalam setiap perancangan dan tindakan”.

“Hal ini tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Harapan Johor,” kata DAP Johor dalam satu kenyataan yang dikeluarkan malam tadi.

“Pada hemat kami, sebarang usaha atau strategi untuk mengembalikan mandat rakyat dan membentuk kerajaan haruslah dalam makluman dan persetujuan bersama Majlis Pimpinan Pakatan Harapan Johor”.

Semalam media melaporkan pemimpin Amanah Johor Aminolhuda Hassan mengatakan PH Johor sedia menjalinkan hubungan dengan Umno bagi mewujudkan kerajaan negeri sekiranya parti itu memutuskan untuk menarik diri daripada Perikatan Nasional (PN).

Kerajaan PN kini memiliki 29 kerusi berbanding PH 27 kerusi dengan majoriti mudah bagi membentuk kerajaan di Johor ialah 29 kerusi.

Pecahan 29 kerusi PN iaitu 14 dimiliki Umno, Bersatu (12), dua MIC dan satu PAS, manakala blok PH disumbang 14 kerusi melalui DAP, sembilan milik Amanah dan empat PKR.

“Pada hemat kami, sebarang usaha atau strategi untuk mengembalikan mandat rakyat dan membentuk kerajaan haruslah dalam makluman dan persetujuan bersama Majlis Pimpinan Pakatan Harapan Johor”.

Pergolakan di Johor berlaku ketika heboh di media sosial tentang PH akan bekerjasama dengan pemimpin Umno berdepan tuduhan rasuah untuk menumbangkan kerajaan PN pimpinan Muhyiddin Yassin.

Pada 13 Oktober, Presiden PKR Anwar Ibrahim mengadap Yang di Pertuan Agong untuk menyerahkan “dokumen sahih” membuktikan beliau mempunyai “sokongan kukuh dan meyakinkan” untuk menjadi perdana menteri.

Bagaimanapun tidak berapa lama selepas itu Istana Negara dalam satu kenyataan mengatakan Anwar tidak menyerahkan bukti senarai ahli Parlimen bagi mengukuhkan dakwaannya.