- Iklan -
Berita

Trump tidak tunjuk sebarang gejala, kata doktor

Trump masih kuarantin di kediaman presiden dan menerima rawatan selepas keluar hospital.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Presiden Donald Trump masih menerima rawatan di kediaman presiden walaupun dibenarkan keluar hospital. Gambar: AP
Presiden Donald Trump masih menerima rawatan di kediaman presiden walaupun dibenarkan keluar hospital. Gambar: AP

Presiden Donald Trump dilaporkan tidak mempunyai sebarang gejala, sehari selepas kembali ke Rumah Putih, lapor agensi berita Xinhua, memetik doktornya pada Selasa.

Sebelum ini beliau telah menjalani rawatan di hospital selama tiga hari selepas dijangkiti Covid-19.

Doktor di Rumah Putih Sean Conley berkata, pasukan perubatan berjumpa Trump yang berada dalam kuarantin di kediaman presiden dan masih menerima rawatan.

“Beliau berehat di rumahnya dan hari ini beliau tidak melaporkan sebarang gejala. Pemeriksaan fizikal stabil, dengan tahap oksigen 95-97 peratus,” kata Conley.

“Secara keseluruhan beliau melaluinya dengan sangat baik.”

Trump di Twitternya pada hari Selasa pagi berkata beliau berasa sihat.

Namun, doktor memberi amaran beliau belum boleh keluar lagi.

Covid-19 sudah menjangkiti 7.46 juta penduduk dan membunuh lebih 210,000 orang di Amerika Syarikat.

Trump mengumumkan beliau dijangkiti virus itu pada 2 Oktober dan kemudian dimasukkan ke hospital tentera.

Sementara itu, penasihat kanan beliau, Stephen Miller turut dilaporkan positif Covid-19.

“Sejak lima hari lalu saya sudah mula bekerja dari luar dan mengasingkan diri, diuji negatif setiap hari sehingga semalam. Hari ini, saya didapati positif Covid-19 dan saya berada dalam kuarantin,” kata Miller dalam satu kenyataan.

Beliau pegawai terkini di Rumah Putih yang disahkan dijangkiti virus itu.