- Iklan -
Berita

Bekalan air di 46 kawasan pulih sepenuhnya

Baki 228 kawasan masih dalam proses pemulihan pada tahap 17% sehingga 6 pagi tadi.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Beberapa penduduk di kawasan Bangi menggunakan tangki air yang disediakan pihak Air Selangor selepas kawasan itu terputus bekalan air.
Beberapa penduduk di kawasan Bangi menggunakan tangki air yang disediakan pihak Air Selangor selepas kawasan itu terputus bekalan air.

Sejumlah 46 dari 274 kawasan telah menerima bekalan air sepenuhnya dengan peratusan pemulihan pada tahap 17% sehingga 6 pagi ini.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elena Basri berkata baki 228 kawasan masih lagi dalam proses pemulihan.

“Wilayah Kuala Langat mencatat pemulihan sebanyak 55% manakala Petaling dengan 37% namun Hulu Langat dan Sepang/Putrajaya masih belum dapat dipulihkan.

“Pengguna dinasihat supaya tidak menyimpan dan menggunakan air berlebihan bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar dan mengikut jadual pelan pemulihan Air Selangor,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata Air Selangor sedang giat berusaha menstabilkan sistem agihan bagi memulihkan kawasan yang terjejas.

Sejumlah 309,687 akaun pengguna di wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang/Putrajaya mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual sejak Ahad lepas apabila Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihenti tugas akibat pencemaran sumber air mentah.

Pengguna di kawasan yang terjejas disaran merujuk saluran komunikasi rasmi Air Selangor seperti aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com, untuk mendapatkan maklumat lanjut.